TUMPAT: Menyedari rumah mereka sentiasa ditenggelami air setiap kali musim tengkujuh, penduduk Kampung Jejuluk di sini melakukan persiapan awal dengan menyediakan bot bagi memudahkan berpindah pada waktu kecemasan.

Penduduk, Mohd Badrul Amin, 27, berkata biarpun bot fiber yang dimilikinya sejak beberapa tahun lepas hanya digunakan pada waktu banjir, namun bot itu sangat penting demi keselamatan beliau dan keluarga.

Menurutnya tiga hari lepas bot tersebut dibaik pulih bagi menampung mana-mana bahagian yang bocor selain dicat semula supaya dapat digunakan dengan selamat.

"Saya bersama enam lagi ahli keluarga memang sudah biasa dengan banjir dan sekiranya melihat paras air meningkat, keseluruhan ahli keluarga termasuk ibu, Jamilah Mamat, 48, turut berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Geting.

"Biasanya semasa banjir, saya kekal berada di rumah kerana perlu menjaga haiwan ternakan, yang mana sebelum ini air naik sedalam paras dada tetapi tidak masuk ke dalam rumah," katanya.

Suri rumah Nurul Azurin Mohd Nazim, 26, pula berkata di kampungnya terdapat 500 penduduk yang kesemuanya akan berpindah ke PPS berdekatan sekiranya berlaku banjir.

Beliau berkata ada juga penduduk yang memilih untuk kekal di kediaman mereka kerana bimbang berlaku kes pecah rumah berikutan kedudukan kawasan kampung yang agak jauh daripada PPS itu.

"Semasa banjir, ada rumah penduduk yang dibina lebih tinggi bertujuan bagi memantau keadaan rumah sendiri dan kediaman kejiranan.

"Bagi rumah penduduk yang berada di kawasan lembah, mereka berpindah lebih awal, sama ada ke rumah saudara-mara atau menyewa di lokasi yang lebih selamat," katanya.

Menurut Nurul Azurin paras air di kawasan itu biasanya meningkat dengan cepat sekiranya hujan lebat berterusan dan paling dibimbangi ialah air Sungai Golok melimpah dari Jalan Kasban ke kawasan kampung tersebut.

Keadaan itu katanya menyebabkan hampir keseluruhan penduduk kampung memiliki bot atau perahu untuk digunakan sebagai pengangkutan semasa banjir.

-- BERNAMA