TUMPAT:Lebih 2,000 penduduk di perkampungan pulau di mukim Teluk Renjuna, di sini berharap kebajikan mereka mendapat perhatian lebih ramai pihak selepas hampir tiga hari terputus bekalan makanan susulan gelombang ketiga banjir yang melanda Kelantan ketika ini.

Rata-rata penduduk yang ditemui Bernama berkata mereka terputus hubungan dengan 'dunia luar' berikutan arus sungai di setiap perkampungan pulau itu mengalir deras sejak Rabu lepas dengan paras air melebihi 10 meter.

Penduduk Kampung Pulau Suri, Suliana Shafi-in, 40, berkata pada Sabtu masuk hari kedua beliau terputus bekalan makanan namun tetap bersyukur kerana dibantu keluarga termasuk jiran-jirannya yang sudi berkongsi rezeki makanan.

"Saya nak keluar ke pekan berdekatan untuk membeli makanan tetapi tidak boleh sebab keadaan arus sungai agak deras sejak dua atau tiga hari lalu dan agak membahayakan kami yang mempunyai bot biasa ini untuk mengharunginya," kata ibu tunggal kepada empat anak itu.

Penduduk di kampung sama, Ramly Ibrahim, 62, berkata demi meneruskan kelangsungan hidup, seramai 80 penduduk di kampung berkenaan saling membantu dengan berkongsi bekalan makanan bersama jiran mereka yang memerlukan seperti beras, gula, garam, susu dan sebagainya.

"Alhamdulillah, air di kawasan rumah kami mulai menurun tetapi keadaan arus sungai agak deras ketika ini sehingga menyekat perjalanan kami hendak ke pekan membeli keperluan asas.

"Sementara menunggu air surut dan keadaan tidak membahayakan, jadi kami sepakat berkongsi bekalan makanan dengan jiran-jiran yang tidak cukup seperti beras, telur, gula, garam dan lain-lain," kata nelayan itu.

Seorang lagi penduduk Kampung Pulau Suri, Mustafa Mahmud, 62, pula berkata selain kekurangan bekalan makanan dan keperluan asas, pendapatan majoriti penduduk di sekitar Pulau Teluk Renjuna juga terjejas sejak bermulanya musim tengkujuh ini.

"Tambahan pula dengan keadaan banjir kali ini lebih menyukarkan kebanyakan penduduk di pulau ini yang merupakan nelayan dan peniaga kecil untuk mencari rezeki yang tidak tahu mengambil masa berapa lama," katanya.

Selain Kampung Pulau Suri, antara kampung yang dinaiki air ekoran limpahan air dari Sungai Kelantan sehingga mencecah paras pinggang ialah di Kampung Haji Nik Mat dan Kampung Lubuk Kawah yang terletak kurang 100 meter dari sungai berkenaan.

Dalam pada itu, Pertubuhan Pusat Pemulihan Dalam Komuniti Bandar Botani (OKU) dari Selangor dengan kerjasama Pertubuhan Ayahanda Anakanda Malaysia (PAAK) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Kota Bharu telah mengagihkan sebanyak 500 sumbangan makanan di setiap kampung di pulau berkenaan.

"Melalui laporan yang saya terima, majoriti penduduk di sini adalah nelayan dan pendapatan mereka agak terjejas susulan musim tengkujuh, malah pihak kami turut diberitahu bahawa lebih 2,000 penduduk di sekitar Pulau Teluk Renjuna terputus makanan hampir tiga hari," kata Pengerusi PAAK Datuk Seri Zainal Adnan Shukri selaku penyelaras misi bantuan tersebut.

Penerima sumbangan yang ingin dikenali sebagai Mat, 55, merakamkan penghargaan kepada pihak yang terlibat dalam misi bantuan banjir itu, memandangkan keperluan makanan di rumahnya sememangnya tidak mencukupi ketika ini.

"Ini merupakan kali pertama pihak berkuasa dan badan bukan kerajaan datang memberikan sumbangan kepada kami sejak bermulanya gelombang ketiga banjir ini," luahnya yang tinggal di Kampung Lubuk Kawah.

-- BERNAMA