KOTA BELUD: Sering dilanda banjir menyebabkan penduduk di Kampung Paka Paka yang terletak kira-kira 10 kilometer dari pekan Kota Belud sudah 'lali' dengan perkara itu terutama ketika tiba musim tengkujuh.

Seorang penduduk, Basir Sabturani, 40, berkata kali ini banjir di kampung berkenaan berlaku dua kali iaitu pada Khamis lepas diikuti hujan lebat selama dua hari menyebabkan air naik kembali.

"Khamis lepas rumah sudah dinaiki air namun ia beransur surut petang esoknya. Namun hujan lebat yang turun pada hari Jumaat dan Sabtu lepas, menyebabkan kampung kami, sekali lagi dilanda banjir.

"Namun kami sentiasa bersiap sedia menghadapi banjir kerana setiap tahun kami akan berhadapan dengan musibah ini apabila tiba musim hujan," katanya kepada Bernama ketika ditemui di kampung berkenaan hari ini.

Beliau berkata setiap kali banjir, keluarganya akan berpindah ke rumah saudara yang tinggal di kampung berhampiran.

"Kami akan tinggal di rumah saudara sehingga beberapa hari kerana banjir ini lambat surut kerana kebetulan air laut juga pasang besar menyebabkan ia memasuki sungai dan melimpah ke kampung kami," tambahnya.

Sementara itu, seorang lagi penduduk Suzidih Simbok, 38, berkata banjir kebiasaannya akan surut dalam tempoh yang lama sehingga dua tiga hari sekiranya tidak hujan.

"Oleh itu kebanyakan penduduk akan membuat persediaan awal untuk berdepan keadaan itu seperti mengemas barang di rumah dan meletakkan di tempat yang selamat. Ada penduduk di sini yang mempunyai perahu dan ia akan digunakan semasa berlaku banjir," katanya.

Beliau berkata setiap kali banjir dia bersama rakan-rakan akan mengambil kesempatan untuk memasang pukat ikan.

"Hari ini saya bersama beberapa rakan memasang pukat dan memang banyak ikan pada musim ini...kebetulan air laut juga sedang pasang," katanya.

Seorang lagi penduduk Ebey Eton, 35, berkata masalah banjir yang telah berlarutan sejak sekian lama di kampung itu menyebabkan kerugian kepada penduduk.

"Walaupun sudah bersedia menghadapi banjir, namun penduduk tetap mengalami kerugian apabila barangan elektrik dan perabot rumah rosak atau musnah seperti tanaman yang ditanam berhampiran rumah," katanya.

Dalam pada itu, tinjauan Bernama di sekitar daerah itu mendapati cuaca baik hari ini, namun air masih belum surut antaranya di Kampung Paka Paka yang menurut penduduk disebabkan air pasang pada hari ini.

Sementara itu, Jabatan Kerja Raya Sabah dalam kenyataan hari ini memberitahu dua jalan di negeri itu mengalami kejadian tebing runtuh iaitu di KM7.6 Jalan Sarang Dudar di Kota Belud dan KM1.550 Jalan Tamparuli Togop di Tuaran.

"Runtuhan tebing akibat kegagalan cerun di Jalan Sarang Dudar, laluan masih boleh dilalui semua kenderaan dalam dua hala, namun di Jalan Tamparuli Togop kegagalan tebing akibat hakisan sungai hanya boleh dilalui satu lorong sahaja," katanya.

-- BERNAMA