KUALA LUMPUR: Pengambilan 18,000 guru secara one-off diyakini dapat menyelesaikan masalah kekurangan guru yang telah berlanjutan sekian lama.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Mohd Radzi Md Jidin memberitahu, pengambilan itu juga akan mengisi kekosongan terkini guru di sekolah-sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Menurutnya, berdasarkan data setakat 19 September lalu, terdapat 21,564 kekosongan guru di sekolah KPM di seluruh negara.

"Dengan mengambil kira pengambilan guru secara one-off tersebut, bagi kekosongan 2,862 lagi akan diisi melalui proses lantikan biasa secara berterusan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pengurusan (SPP)," katanya semasa waktu pertanyaan-pertanyaan menteri bagi jawab lisan di sidang Dewan Rakyat pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Sabri Azit (Pas-Jerai) yang meminta beliau menyatakan kriteria utama pemilihan 18,000 guru dan keperluan sebenar kekosongan guru di seluruh negara.

Mengulas lanjut, Mohd Radzi berkata, urusan pengambilan guru atau Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) Gred DG41 secara one-off bagi 2021 adalah di bawah bidang kuasa SPP selaku pihak berkuasa melantik.

"Dari segi kriteria pemilihan, keutamaan akan diberikan kepada graduan yang memiliki kelayakan ikhtisas pendidikan daripada universiti awam, universiti swasta dan juga universiti luar negara untuk dilantik secara tetap.

"Selain itu, calon juga perlu memenuhi syarat skim perkhidmatan, memenuhi padanan kluster mata pelajaran dan berjaya dalam temu duga SPP," ujarnya.

Beliau menjelaskan, temu duga tersebut akan menilai kompetensi umum seperti sikap, penampilan diri, pengetahuan am dan kompetensi functional seperti kandungan mata pelajaran dan pedagogi.

Katanya, sekiranya bilangan calon yang berjaya dilantik dalam kalangan graduan yang mempunyai kelayakan ikhtiasas pendidikan masih belum mencukupi, maka SPP akan melaksanakan kaedah lantikan secara contract of service dalam kalangan calon-calon yang tidak mempunyai kelayakan ikhtisas pendidikan.