MALAYSIA
Penganggur didakwa cuba bunuh anggota polis dengan pisau

Suspek didakwa melakukan perbuatan tersebut dengan menikam perut mangsa sehingga menyebabkan kecederaan serius iaitu "penetrating abdominal wound with evisceration", yang boleh membawa kepada kematian. - Foto hiasan
KUALA LUMPUR: Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan, iaitu cubaan membunuh seorang anggota polis dengan menikam perut mangsa menggunakan sebilah pisau, serta memiliki senjata berbahaya tanpa alasan yang sah, bulan lepas.
Yap Thye Sun, 56, didakwa melakukan perbuatan tersebut terhadap Koperal Mohd Nazri Sudiman, 35, dengan menikam perut mangsa sehingga menyebabkan kecederaan serius iaitu "penetrating abdominal wound with evisceration", yang boleh membawa kepada kematian.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di tepi Jalan Pusingan U, Jalan Yew, di sini pada 12.30 tengah hari, 31 Julai lepas, mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda. Jika kecederaan serius berlaku, hukuman boleh mencecah penjara maksimum 20 tahun.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa memiliki sebilah pisau berukuran 21.5 sentimeter tanpa tujuan yang sah di lokasi, masa dan tarikh yang sama, mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958, yang membawa hukuman penjara tidak kurang daripada lima tahun dan tidak melebihi 10 tahun, serta sebatan.Timbalan Pendakwa Raya Nidzuwan Abd Latif tidak menawarkan jaminan atas alasan pertuduhan melibatkan kesalahan serius dan tidak boleh dijamin.
"Selepas menikam mangsa, tertuduh melarikan diri sambil membawa senjata tersebut. Sekiranya mahkamah membenarkan jaminan, terdapat risiko tertuduh melarikan diri. Mangsa dalam kes ini mengalami kecederaan parah hingga ususnya terkeluar," katanya.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam tidak mengemukakan sebarang rayuan.
Hakim Siti Shakirah Mohtarudin tidak membenarkan jaminan terhadap tertuduh dan menetapkan 2 Sept untuk sebutan kes bagi lantikan peguam.
Sebelum ini, media melaporkan seorang anggota polis mengalami kecederaan parah selepas ditikam dengan pisau oleh seorang lelaki ketika menjalankan rondaan cegah jenayah bersama empat anggota polis lain.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami