KEMAMAN: Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kemaman pada Khamis atas pertuduhan mendatangkan kecederaan parah terhadap seorang remaja lelaki dengan membakarnya.

Tertuduh, Shaikh Hilman Hakim Shaikh Anuar, 28, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman. 

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera parah kepada Muhammad Fiqrie Adam Abdullah, 15, menggunakan api.

Kesalahan itu dilakukan pada 22 Julai lalu jam 3 pagi di Simpang Empat Kampung Perasing Jaya, Jabor, Kemaman. 
 
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

BACA: Dituduh curi RM100, remaja melecur dibakar rakan

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurhanisah S H Sahul Hamid manakala tertuduh diwakili peguam Nurul Farhana Shamsudin.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 1 Ogos depan sebagai tarikh penetapan jaminan di Mahkamah Sesyen.

Sementara itu, di mahkamah yang sama tiga lagi pemuda turut didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap mangsa di lokasi dan masa yang sama.

Ketiga-tiga tertuduh Mohamad Razman Zalizan, 20, Mohamad Razif Mohamad, 20, dan Muhammad Imran Mohamad, 18, didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Azhani Azman manakala tertuduh diwakili peguam sama.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 8 September sebagai tarikh sebutan semula kes.

Ketiga-tiga tertuduh dibenarkan diikat jamin sebanyak RM1,800 setiap seorang dengan syarat tambahan tidak boleh mengganggu atau mendekati mangsa dan saksi pendakwaan. 

Pada Jumaat seorang remaja lelaki berusia 15 tahun melecur dari leher sehingga bahagian badan selepas dipercayai dibakar rakannya.

Mangsa kini sedang menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan, Pahang.