Skip to main content

Malaysia

Penganggur dituduh bunuh peniaga di Jasin

[TB]_Penganggur tuduhan membunuh Jasin_BERNAMA
Pendakwaan ke atas Kogilanathan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau pemenjaraan tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun serta, jika tidak dijatuhi hukuman mati, hendaklah dikenakan sekurang-kurangnya 12 sebatan. - Gambar Bernama
Advertisement

JASIN: Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Majistret di sini, atas pertuduhan membunuh seorang peniaga di hadapan sebuah kedai gunting rambut di Rim di sini, dua tahun lepas.

P Kogilanathan, 27, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Mazana Sinin.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamat Tinggi.

Mengikut pertuduhan, Kogilanathan bersama-sama tiga individu lain yang masih bebas didakwa membunuh M Vinurd, 24, di hadapan sebuah kedai gunting rambut di Taman Rim Baru di sini, antara 8.39 hingga 11 malam, 25 Ogos 2024.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau pemenjaraan tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun serta, jika tidak dijatuhi hukuman mati, hendaklah dikenakan sekurang-kurangnya 12 sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Noor Syazwani Mohamad Yusri manakala tertuduh diwakili peguam Nur Aida Md Zainuddin.

Sementara itu dalam satu lagi prosiding berasingan di mahkamah sama, Kogilanathan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memandu secara melulu dan berbahaya kepada orang awam di Taman Asia Selatan, kira-kira 7.30 mala, 4 Mac 2024.

Dia didakwa mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan) 2020 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda antara RM5,000 hingga RM15,000, serta hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu bagi tempoh tidak kurang lima tahun dari tarikh sabitan.

Noor Syazwani menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 manakala Nur Aida memohon jumlah lebih rendah dengan alasan tertuduh tidak bekerja selain perlu menanggung bapanya yang menghidap penyakit jantung dan ibunya pula menghidap diabetes.

Mahkamah membenarkan jaminan RM4,000 bagi pertuduhan memandu secara melulu dan berbahaya, namun tertuduh kekal ditahan berhubung tuduhan bunuh. 

Mahkamah menetapkan 26 Ogos depan untuk sebutan semula kes.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement