IPOH: Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ipoh pada Khamis atas tuduhan menyamar sebagai polis, Isnin lepas.

Tertuduh, C. Kevin Cornelius, 41, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Noor Azreen Liana Mohd Darus.

Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa menyamar sebagai anggota polis di Bukit Kledang, Menglembu, Ipoh, sekitar pukul 8 pagi, 20 Jun lalu.

Dia didakwa di bawah Seksyen 170 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksima dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Tertuduh turut mengaku tidak bersalah terhadap satu lagi tuduhan memasukkan dadah jenis morfin dan ganja jenis THC ke dalam badannya.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, pada pukul 12 tengah hari, Selasa lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah seksyen yang sama dan dibaca bersama Seksyen 38B (1) akta yang sama.

Ia memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun, selain perlu menjalani perintah pengawasan antara dua hingga tiga tahun selepas selesai menjalani hukuman.

Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan RM2,000 untuk setiap pertuduhan dengan seorang penjamin.

Mahkamah turut menetapkan 5 September hadapan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Sufi Aiman Azmi, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.