Pengangguran menjadi antara faktor utama peningkatan angka golongan muda terlibat dengan konflik dan kes keganasan di negara ini.

Ketua Puteri UMNO, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata ia dikenal pasti antara masalah utama yang harus dibendung sebelum menjadi barah yang sukar dirawat kepada sesebuah negara.

"Kita kenal pasti antara faktor orang muda terlibat dengan keganasan adalah pengangguran, kekurangan pendidikan dan pengetahuan serta pengaruh media.

"Selain itu pengaruh dadah turut dilihat antara sebab golongan berkenaan terdedah dengan konflik serta kes-kes keganasan di negara ini," katanya kepada Astro AWANI di sini pada hari ini.

BACA: Hentikan segera sebarang tanda kecenderungan ke arah ekstremisme - TPM

Mas Ermieyati berkata demikian selepas membentangkan kertas kerja hari kedua Sidang Kemuncak Global, Ahli Parlimen Muda Himpunan Kesatuan Antara Parlimen (IPU) yang dihadirinya bermula hari semalam sehingga hari ini di Tokyo.

Katanya yang juga ketua delegasi negara pada persidangan itu berkata, himpunan dengan tema demokrasi, keamanan dan kemakmuran itu turut mencari penyelesaian dalam isu belia antaranya dalam politik, pendidikan dan polisi.

BACA: Militan IS: Media sosial masih jadi medium utama rekrut ahli - Polis

Bagaimanapun jelasnya, persepsi masyarakat terhadap penglibatan majoriti golongan muda terhadap keganasan harus segera diubah.

"Kita harus melihat orang muda tidak dilihat sebagai agen keganasan tetapi patut dilindungi sebagai mangsa keganasan serta konflik itu sendiri.

"Bagaimanapun kita sedar bahawa terdapat kumpulan pelampau yang menggunakan keganasan seksual sebagai satu bentuk keganasan terutamanya kepada wanita dan kanak-kanak.

"Kerana itu kita mengutuk perlakuan ini termasuk oleh beberapa kumpulan pelampau yang menjadi musuh kepada masyarakat kini," ujarnya.

BACA: IPU: Negara berdepan cabaran mengetengahkan pemimpin muda - Mas Ermieyati

Pada hari pertama persidangan, Mas Ermieyati mendedahkan negara kini berdepan cabaran untuk mengetengahkan generasi muda terutama di bawah umur 30 tahun untuk menjadi pemimpin pelapis masa hadapan.

Tegasnya, tugas itu dilihat tidak terletak di bahu kerajaan namun harus dipikul pihak pembangkang.