Keputusan sama ada penganjuran Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2020 akan ditangguhkan atau tidak berikutan kebimbangan COVID-19, hanya akan diketahui minggu hadapan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata keputusan muktamad akan diketahui pada mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi SUKMA yang akan dipengerusikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

"Kita tunggu keputusan yang akan diputuskan dalam mesyuarat minggu hadapan," katanya ketika dihubungi di sini pada Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada kerajaan negeri akan mengambil keputusan untuk menangguhkan SUKMA Johor yang dijadual berlangsung pada 11 hingga 19 Julai hadapan, bagi mencegah penularan COVID-19.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum ini mengeluarkan kenyataan mengenai penangguhan kesemua perhimpunan yang melibatkan orang ramai bagi mencegah jangkitan virus berkenaan.- BERNAMA

BACA: COVID-19: KKM minta rakyat lakukan penjarakan sosial

BACA: COVID-19: KKM minta rakyat lakukan penjarakan sosial