KLUANG: Seorang pengasuh berusia 30 tahun ditahan reman bagi membantu siasatan berkaitan kes seorang bayi lelaki berusia enam bulan yang cedera disyaki digigit seperti tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, wanita itu ditahan reman selama empat hari bermula Isnin susulan laporan dibuat pengadu berusia 30 tahun yang merupakan ibu kepada mangsa.

"Ibu mangsa dan pengasuh tinggal di kawasan Taman Puteri Mas. Semakan mendapati laporan polis telah dibuat ibu bayi itu pada jam 5.30 petang, Rabu lalu.

"Laporan dibuat wanita berkenaan mengenai kes anak yang berumur enam bulan mempunyai kesan gigitan di badan disyaki digigit oleh anak pengasuh yang berusia tiga tahun," katanya ketika dihubungi pada Isnin.

BACA: Bayi cedera dipercayai digigit, polis akan panggil pengasuh

Menurut Bahrin, polis telah merakam percakapan pengasuh berkenaan pada kira-kira jam 10 malam pada Ahad.

Jelasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun atau denda tidak lebih RM50,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Sebelum itu, seorang wanita yang dipercayai ibu kepada bayi itu menerusi satu hantaran di Facebook pada Ahad tanpa mendedahkan lokasi rumah pengasuh berkongsi kejadian yang menimpa bayinya.

Ibu berkenaan turut mendakwa seorang lagi anak lelakinya pula dilempang sehingga trauma. - Sinar Harian