Seorang pengawal keselamatan didenda RM3,500 atau empat bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini, selepas mengaku bersalah memeras ugut untuk menyebarkan gambar bogel seorang wanita.

Majistret Mahyudin Mohmad Som menjatuhi hukuman itu terhadap Muhammad Faez Aiman Toiban, 23, selepas dia mengaku memeras ugut seorang wanita berumur 20 tahun untuk menyebarkan gambar bogel mangsa bagi mendapatkan wang RM5,000.

Tertuduh melakukan kesalahan itu di Jalan Genting Klang di sini pada 6 petang, 7 Feb lepas, mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tujuh tahun, atau denda dan sebatan.

Mengikut fakta kes, pada 7 Feb 2017, wanita itu menerima WhatsApp daripada seorang lelaki yang dikenalinya iaitu tertuduh yang mengugut akan menyebarkan gambar bogelnya jika pengadu tidak menyerahkan wang kepada tertuduh.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan dia menanggung keluarganya manakala Timbalan Pendakwa Raya Nur Farah Adilah Noordin memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran kerana kesalahan itu menjejaskan maruah pengadu.

-- BERNAMA