Skip to main content
Advertisement

Malaysia

Pengecualian fi RM1 ATM meliputi 84 peratus mesin di seluruh negara - Fahmi

71613555305_ATMMachine.jpg
Pengecualian fi itu bertujuan memberi kelegaan kepada pengguna melalui rangkaian perkongsian ATM antara bank. - Gambar hiasan
Advertisement

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan pengecualian fi RM1 bagi pengeluaran tunai di mesin pengeluaran wang automatik (ATM) melibatkan kira-kira 84 peratus atau hampir 16,000 mesin ATM di seluruh negara.  

Jurucakap Kerajaan Madani, Datuk Fahmi Fadzil berkata, berkata pihaknya menjelaskan perkara itu susulan kebimbangan orang ramai di media sosial berhubung pelaksanaan inisiatif tersebut yang bermula 1 Julai.

Menurutnya, penjelasan telah diperoleh daripada Bank Negara Malaysia (BNM) bahawa pengecualian fi itu bertujuan memberi kelegaan kepada pengguna melalui rangkaian perkongsian ATM antara bank.

“Saya telah berhubung dengan Bank Negara Malaysia untuk mendapatkan penjelasan dan asasnya pengecualian fi ini bertujuan memberi sedikit kelegaan kepada rakyat melalui rangkaian ATM antara bank yang menyertai sistem perkongsian,” katanya pada Sidang Media Mingguan Komunikasi Auditorium Seri Angkasa, Angkasapuri pada Rabu.

Fahmi berkata, pelaksanaan itu hanya melibatkan ATM milik bank yang berada dalam rangkaian perkongsian, yang merangkumi 84 peratus atau hampir 16,000 mesin ATM di seluruh negara.

Beliau berkata, baki kira-kira 16 peratus ATM pula merupakan mesin kendalian pengusaha bebas yang beroperasi di bawah model komersial berbeza dan tidak termasuk dalam skop pengecualian berkenaan.

“Pengumuman ini terpakai bagi ATM milik bank yang menyertai rangkaian perkongsian. Manakala ATM yang dikendalikan pengusaha bebas tidak termasuk dalam pengecualian ini,” katanya.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata pihak Association of Banks in Malaysia (ABM) dan Association of Islamic Banks in Malaysia (AIBIM) dijangka akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung pelaksanaan tersebut.

Beliau turut memaklumkan pengguna boleh mengenal pasti ATM milik bank melalui logo bank, berbanding mesin kendalian pihak ketiga.

“Sekiranya ada mana-mana pengguna mendapati masih dikenakan fi RM1 bagi pengeluaran di ATM milik bank, mereka boleh membuat laporan kepada Bank Negara Malaysia untuk tindakan lanjut,” katanya.

Must Watch Video

Advertisement