MERUJUK kepada pembukaan semula sempadan negara dan pengecualian bayaran tol di laluan darat, Datuk Azman Ismail, Pengarah Urusan PLUS Malaysia Berhad (PLUS) mengalu-alukan langkah Kerajaan menyambut kepulangan warga Malaysia dan ketibaan rakan-rakan dari Singapura dengan tangan yang terbuka. Pada masa yang sama, PLUS akan terus komited untuk menyediakan perjalanan yang selamat, lancar dan satu pengalaman yang menyeronokkan bagi pelanggan lebuhraya yang memasuki Malaysia.

Seperti mana yang diumumkan oleh Kerajaan baru-baru ini, mulai 1 April 2022, orang ramai boleh menikmati pengecualian bayaran tol sepanjang minggu apabila menggunakan laluan darat/jalan raya sempadan untuk masuk dan keluar dari negara di plaza tol di Bangunan Sultan Iskandar (Tambak Johor) dan Tanjung Kupang (Lebuhraya Linkedua). Pengecualian bayaran tol ini adalah untuk untuk laluan masuk dan keluar di dua plaza tol tersebut selama satu minggu dari 1 April hingga 7 April 2022.

PLUS menjangkakan akan berlaku sedikit lonjakan trafik di beberapa laluan di lebuh raya dengan pembukaan semula sempadan laluan darat ini di samping ketibaan bulan Ramadan.

[INFOGRAFIK] Pengecualian bayaran tol sempena pembukaan semula sempadan

Oleh itu, PLUS telah mengadakan pelbagai persediaan yang rapi bagi membantu pelanggan menikmati perjalanan yang selamat, lancar dan selesa di lebuh raya, di plaza tol dan kawasan rehat. Ketika singgah di R&R, pastikan anda mematuhi SOP yang telah ditetapkan bagi mengurangkan jangkitan COVID-19.

UNTUK MEMUDAHKAN PERJALANAN, PLUS BERKONGSI TIPS UNTUK PENGEMBARA
YANG MEMASUKI SEMPADAN NEGARA MELALUI LALUAN DARAT/JALAN RAYA DI
BANGUNAN SULTAN ISKANDAR (TAMBAK JOHOR) DAN PLAZA TOL TANJUNG
KUPANG (LEBUHRAYA LINKEDUA) :


1. Pengecualian bayaran tol ini ditawarkan untuk semua jenis kenderaan dan hanya terpakai di Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar (Tambak Johor) dan Tanjung Kupang (Lebuhraya Linkedua) di Johor sahaja.

2. Tempoh pengecualian tol adalah selama satu minggu, daripada 1 April hingga 7 April 2022.

3. Sebagai persediaan untuk perjalanan anda, sila pastikan bahawa anda telah menyemak peralatan pembayaran tol seperti kad Touch ‘n Go atau SmartTAG.

4. Perlahankan kenderaan apabila menghampiri plaza tol. Walaupun bayaran tol di Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar dan Tanjung Kupang dikecualikan, pelanggan lebuh raya masih perlu menyentuh kad Touch ‘n Go mereka pada pengimbas di lorong tol bagi membolehkan PLUS merekodkan data trafik dan mematuhi arahan pihak berkuasa.

5. Patuhi prosedur operasi standard kawalan sempadan yang ditetapkan.

6. Sekiranya anda ingin meneruskan perjalanan ke destinasi lain selain kedua-dua tol plaza ini, sila pastikan baki kad Touch ‘n Go yang mencukupi dan tambah nilai untuk perjalanan anda di laluan bertol yang lain di Malaysia.

7. PLUS telah bersiap siaga dengan menambah bilangan petugas khidmat pelanggan di kedua-dua tol plaza pintu negara ini untuk memberi bantuan kepada semua pelanggan yang memerlukan pertolongan.



PLUS