Seorang pengedar dadah, lelaki warga asing dicekup pihak polis ketika sedang leka menunggu pelanggan di kawasan Kampung Lembaga Padi, Inanam, dalam satu operasi yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah dan Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu.

Menurut Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji, kegiatan suspek telah mula dikesan sejak bulan lalu dan hasil daripada operasi yang dijalankan pada kelmarin, suspek akhirnya ditahan pada jam lebih kurang 9.30 malam di kawasan berkenaan.

Jelas Habibi, pihak polis turut merampas dadah jenis syabu seberat 53.6 gram dan wang tunai bernilai RM5,000 daripada suspek warga Filipina yang berusia 18 tahun itu.

"Ketika pihak polis menghampiri lelaki tersebut dengan memperkenalkan diri sebagai Polis, tiba-tiba suspek telah melarikan diri ke kawasan paya bakau, namun telah berjaya ditangkap setelah berlaku pergelutan dengan anggota serbuan.

"Semasa ditahan, suspek telah membuang satu beg kecil bercorak bunga di atas tanah dan hasil pemeriksaan di dalam beg kecil tersebut menemui lapan paket plastik lutsinar pelbagai saiz yang kesemuanya berisi hablur jernih disyaki dadah jenis syabu," katanya dalam satu kenyataan kepada media, hari ini.

Tambah beliau, suspek telah ditahan reman selama tujuh hari sehingga 9 September ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952.