ALOR SETAR: Seorang pengerusi koperasi di negeri Kedah direman enam hari hingga 21 Januari bagi membantu siasatan berhubung tuntutan palsu berjumlah kira-kira RM20.3 juta insentif pembayaran Projek Penternakan Lembu Tenusu.

Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Muhammad Zul Hilmi Latif, selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Alor Setar, hari ini.

Terdahulu, suspek diiringi pegawai SPRM tiba di Lokap Mahkamah kira-kira jam 8.50 pagi tadi.

Sebelum itu, suspek ditahan pada jam 3 petang Ahad (semalam) di Pejabat SPRM Kedah selepas hadir untuk memberi keterangan.

Menurut sumber, penahanan tersebut ekoran maklumat mengatakan suspek telah bersubahat dengan pengarah dan pemilik dari dua buah syarikat pada tahun 2015 mengemukakan tuntutan palsu berkaitan insentif pembayaran Projek Penternakan Lembu Tenusu di bawah Kluster Tenusu Entry Point Project 13 (EPP 13) Economy Transformation Plan (ETP) yang bernilai sebanyak RM20.3 juta kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar sedangkan tiada pembekalan dibuat.

Minggu lalu, pengarah dan pemilik sebuah syarikat telah direman bagi membantu siasatan SPRM berkaitan kes terbabit.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd Manap mengesahkan penahanan suspek berkenaan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.