KUALA LUMPUR: Penggunaan ganja untuk perubatan jauh berbeza berbanding penggunaanya untuk rekreasi dan ini masih tidak dapat dibezakan dalam kalangan masyarakat Malaysia.

Ketika dunia sudah memanfaatkan kebaikan ganja dan kanabinoid untuk merawat penyakit tertentu, masyarakat kita masih skeptikal kerana dibelenggu budaya penggunaan ganja untuk bersuka-ria.

Presiden Persatuan Hemp Perubatan Malaysia, Prof Dr Mohamad Hussain Habil sendiri mengakui, stigma masyarakat terhadap penggunaan ganja dalam perubatan perlu dihapuskan agar objektif menggunakan kaedah tersebut dapat difahami dengan lebih meluas.

‘’Penggunaan ganja dalam merawat penyakit tertentu bukan lagi perkara asing bagi negara luar dan ini meletakkan Malaysia jauh ketinggalan kerana masih ragu-ragu untuk meluluskan penggunaan ganja dalam perubatan.

“Ramai yang tidak jelas kerana matlamat kita bukan untuk menjadikan ganja ini untuk kegunaan tanpa sebab, fokus kita adalah lebih kepada perubatan,’’ katanya kepada Astro AWANI.

Secara saintifiknya, memang banyak kebaikan ganja dalam merawat penyakit tertentu dan berkesan bagi pesakit mental dan kanser antaranya mengurangkan loya serta muntah semasa kimoterapi.

Selain itu sifat semulajadi ganja yang mampu membangkitkan selera makan juga mampu membantu penghidap HIV/AIDS.

“Bila kita sebut ganja untuk perubatan maka ia bukan untuk digunakan sewenang-wenangnya sebaliknya ia memerlukan nasihat dan kelulusan dari pakar untuk rawat pesakit tertentu,” ujarnya.

Jika wujud kawalan dan pemantauan oleh pakar maka penggunaan ganja untuk merawat tidak akan membawa kepada ketagihan.

Bagaimanapun, ekoran kurangnya kajian dan ujian klinikal susulan sekatan serta larangan pihak berkuasa, potensi sebenar ganja tidak dapat dimanfaatkan sepenuhnya.

Malah ia juga membuatkan sesetengah individu atau pesakit dalam dilema serta takut walaupun mereka tahu ganja mampu merawat atau mengurangkan kesakitan kepada penyakit yang ditanggung.

Ini mendorong mereka untuk berbelanja lebih bagi mendapatkan rawatan seumpamanya di negara jiran.

“Inilah persepsi yang harus diubah dan usaha ini jadi sukar apabila kerajaan dilihat agak lewat dalam membuat keputusan.

“Apa yang menyedihkan bila kita lihat pihak penguat kuasa yang mengambil tindakan tanpa usul periksa, mereka sewajarnya rujuk individu yang positif ganja ini kepada pihak pakar perubatan dan bukan terlalu cepat menghukum.

“Tindakan itu seperti menganiaya pihak yang benar-benar memerlukan kaedah alternatif untuk merawat, jadi undang-undang itu tidak sepatutnya jadi lebih ketat daripada kesan penggunaan ganja itu sendiri,” kata Dr Mohamad Husain.

Tegasnya, negara akan terus kekal ketinggalan sekiranya matlamat itu tidak diberi keutamaan termasuk soal untuk membuat keputusan terhadap usaha berkenaan.

Perspektif negatif itu juga mampu ditepis jika pihak yang terlibat termasuk masyarakat diberikan pemahaman dan pendedahan yang lebih inklusif terhadap tujuan penggunaan ganja dan kanabinoid.

Dalam pada itu, Dr Mohamad Hussain memberitahu, Malaysia merupakan negara yang mempunyai kualiti ganja terbaik jika dibandingkan dengan negara luar.

Ini sekali gus menguntungkan pihak lain yang sudah memanfaatkannya dengan mengaut keuntungan yang banyak.

Namun, apa yang berlalu di Malaysia pula ialah hasil kajian siantifik yang dikemukakan seakan tidak dipandang dan tiada sebarang maklum balas positif oelh kerajaan, katanya.

“Usaha ini sepatutnya sudah lama diluluskan tetapi kita nampaknya masih tertunggu-tunggu dan ini bagi saya memang cukup menyedihkan.

“Bagilah sedikit simpati kepada pesakit, fobia apa sebenarnya yang kita takutkan menyebabkan kita terlalu lambat untuk bertindak,” ujarnya.

Menurut Dr Mohamad Hussain, lebih 40 negara telah meluluskan penggunaan ganja dalam perubatan antaranya Kanada, Itali, Argentina dan Australia.

Sebelum ini, topik itu juga turut menjadi perbualan hangat ramai pihak yang mengecam tindakan berkenaan termasuk mereka yang bimbang wujudnya salah guna daripada cadangan berkenaan.

Bagi mereka yang ingin mendapatkan bantuan pemulihan dan rawatan pelbagai jenis ketagihan dengan bantuan pakar dan kaedah luar kotak boleh menghubungi www.solaceasia.org untuk maklumat lanjut.