SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menegaskan sebarang pengunaan kalimah Allah dalam kitab Bible terjemahan Bahasa Melayu atau percetakan apa-apa buku dan tulisan agama Kristian dalam apa bentuk sekalipun adalah dilarang sama sekali di Selangor.

Baginda bertitah demikian sebagai merujuk kepada keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung kes Jill Ireland binti Lawrence Bill melawan Kementerian Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia baru-baru ini.

"Beta mengulangi pendirian Beta bahawa kalimah Allah ialah suatu kalimah suci umat Islam dan hanya boleh digunakan untuk merujuk kepada Tuhan Yang Maha Esa yang mempunyai sifat-sifat kesempurnaan.

"Kalimah Allah sama sekali tidak boleh diletakkan di tempat yang salah atau digunakan selain daripada maksud Tuhan Yang Maha Esa yang menjadi asas pegangan akidah umat Islam," titah baginda dalam satu hantaran yang dikongsi dalam Facebook Selangor Royal Office di sini, pada Selasa.

Namun demikian baginda bertitah sekiranya perkataan Tuhan digunakan sebagai terjemahan kepada perkataan God, Baginda tidak mempunyai halangan atas penggunaan perkataan Tuhan tersebut.

Sultan Sharafuddin juga menitahkan rakyat baginda yang bukan beragama Islam di Negeri Selangor sentiasa akur dan mematuhi larangan penggunaan kalimah Allah sepertimana yang diperuntukkan di bawah Enakmen Ugama Bukan Islam (Pengawalan Perkembangan Di Kalangan Orang Islam, 1988) yang diwartakan pada 7 Julai 1988.

Titah baginda lagi, ia termasuklah larangan penggunaan beberapa perkataan lain yang termaktub di bawah Enakmen Ugama Bukan Islam ini bagi tujuan komersial dan bagi tujuan menamakan tempat-tempat perniagaan atau bangunan.

"Sebagai Ketua Agama Islam Selangor, Beta tetap akan mempertahankan kesucian kalimah Allah ini kerana memelihara kesucian kalimah Allah ini adalah menjadi tuntutan agama dan tanggungjawab Beta seperti mana Firman Alah S.W.T di dalam ayat 65 surah at-Taubah yang melarang daripada mempermainkan dan mempersendakan kalimah Allah: Yang bermaksud: "Katakanlah, patutkah nama Allah dan ayat-ayatNya serta RasulNya kamu memperolok-olok dan mengejeknya?"

"Apa gunanya Beta menjadi ketua Agama Islam Selangor jika Beta gagal untuk menjamin kemuliaan kalimah Allah dan kesucian Agama Islam dari dicemari oleh pihak yang mempunyai agenda tersendiri," titah baginda.

Baginda pada masa yang sama juga menekankan agar rakyat Selangor dapat menghormati kepercayaan agama masing-masing dan tidak cuba untuk menyentuh sensitiviti agama masing-masing yang boleh merosakkan perpaduan kaum di negeri itu.

"Jika umat Islam boleh menghormati penganut agama lain dengan tidak mencampuri urusan berkaitan agama mereka maka Beta juga menggesa agar penganut agama selain dari Islam untuk menghormati penganut agama Islam khususnya dalam penggunaan kalimah Allah yang menjadi pegangan utama umat Islam.

"Beta juga berkesempatan membaca titah yang dizahirkan oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar dan menyokong penuh titah Sultan Johor yang meminta kerajaan Persekutuan untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu," titahnya.

Kalimah Allah | Penganut Kristian boleh guna untuk tujuan mendidik

Penegasan Sultan Sharafuddin juga adalah selaras dengan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam Titular Roman Catholic Archbishop of Kuala Lumpur melawan Menteri Dalam Negeri pada 2014 dan fatwa yang diwartakan di Negeri Selangor pada 18 Feb 2010, yang menyatakan bahawa kalimah Allah tidak boleh digunakan atau disamakan dengan tuhan bagi agama-agama bukan Islam yang lain.

BACA: Kerajaan fail rayuan keputusan kes kalimah 'Allah'

BACA: Sultan Johor zahir rasa dukacita kebenaran penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam

23 Mac 2021 ~ KENYATAAN AKHBAR D.Y.M.M. SULTAN SELANGOR Merujuk kepada keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di...

Posted by Selangor Royal Office on Monday, 22 March 2021