Pengiktrafan UEC: Sebarang tuntutan perlu utamakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan - PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ditemui pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Nur Al-Hidayah, Kelibang di sini hari ini. - Foto Bernama
LANGKAWI: Sebarang tuntutan yang menjurus kepada sensitiviti agama, bangsa dan kaum, perlu mengambil kira kedudukan bahasa kebangsaan dalam perlembagaan negara, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ringkasan AI
- Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa tuntutan sensitiviti agama, bangsa, dan kaum perlu menghormati kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan mengikut Perlembagaan Negara.
- Beliau menekankan pentingnya memantapkan penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan rakyat sebelum mempertimbangkan cadangan seperti pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) atau peningkatan penggunaan bahasa Inggeris.
- Anwar memaklumkan bahawa semua aliran masyarakat, termasuk Cina, Tamil, dan Inggeris, perlu menguasai bahasa Melayu sebagai syarat asas, dengan prinsip bahasa kebangsaan harus diutamakan dalam sebarang perbincangan berkaitan bahasa negara.
"Saya nak jelaskan begini, ini Malaysia. Bahasa Melayu adalah bahasa rasmi dan siapa pun dalam percubaan mereka untuk membawa mesej sesuatu bahasa, mesti ingat bahawa bahasa rasmi iaitu bahasa Melayu harus diangkat sebagai bahasa ilmu yang dikuasai oleh semua rakyat Malaysia. Yang itu kita noktahkan, jelaskan," kata Perdana Menteri.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Nur al-Hidayah, Kuah, di sini hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata martabat bahasa Melayu harus diangkat sesuai dengan kedudukannya dalam perlembagaan negara, dan penguasaannya mesti dimantapkan dalam kalangan rakyat.
Beliau berkata sekiranya prinsip dan soal itu telah dilakukan, baharulah cadangan bagi memantapkan penguasaan bahasa lain dan pengiktirafan terhadap UEC boleh dikemukakan.
"Kalau ini dah jelas, nak bangkitkan soal keperluan peningkatan penggunaan bahasa Inggeris, saya setuju. Tapi bahasa Melayu, bahasa bidang teknologi baru, bahasa AI (kecerdasan buatan), bahasa untuk bahasa ilmu, itu mesti dimantapkan dan penguasaan bahasa itu harus baik dalam kalangan semua rakyat.
"Semua aliran...saya tak kira Cina, Tamil, Inggeris mesti menguasai bahasa Melayu dan ini juga syarat yang kita kenakan untuk sekolah-sekolah antarabangsa...dia boleh menggunakan perantaraan bahasa Inggeris tapi mesti lulus dan menguasai bahasa Melayu," kata beliau.
Anwar berkata sebarang cadangan yang menjurus kepada satu bahasa atau satu kaum serta meninggalkan perbincangan soal bahasa utama negara, dilihat akan membawa kepada masalah.
Justeru, Perdana Menteri mengingatkan mana-mana pihak yang mengemukakan cadangan dalam perkara berkaitan bahasa, haruslah mematuhi prinsip perlembagaan dengan keutamaan ialah penguasaan bahasa Melayu.
Sebelum ini, Timbalan Pengerusi DAP Nga Kor Ming dilapor sebagai berkata parti itu akan berjumpa dengan Perdana Menteri berhubung pengiktirafan UEC.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


