NANNING: Penglibatan Malaysia dalam Belt and Road Initiative (BRI) tidak memberi gambaran seolah-olah Malaysia mengurangkan perhatian kepada negara rantau lain seperti Amerika Syarikat, Eropah, India dan Australia, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sebaliknya, beliau berkata Malaysia akan terus tingkatkan perhatian terhadap negara-negara tersebut, katanya dalam sidang media hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata Malaysia mengambil pendekatan yang lebih pragmatik kerana China merupakan ekonomi yang kukuh dan mempunyai pelaburan yang besar.

"Selain itu, perdagangan dua hala China dengan Malaysia juga tertinggi selama 14 tahun berturut-turut," katanya sempena lawatan kerja beliau di sini untuk menghadiri Ekspo China-ASEAN (CAEXPO) ke-20.

China merupakan rakan dagang Malaysia terbesar sejak 14 tahun berturut-turut dengan nilai dagangan mencecah US$110.62 bilion (US$1=RM4.68).

-- BERNAMA