Skip to main content

Malaysia

Pengoperasian LRT3 beri impak positif kelancaran pergerakan pelajar - Zambry

Shah Alam , 29 Jun 2026.Orang ramai mengambil peluang untuk menaiki LRT Laluan Shah Alam pada hari pertama peroperasian di Stesen LRT Bandar Utama.ASTRO AWANI / SHAHIR OMAR
Dengan adanya kemudahan Stesen UiTM Shah Alam di jajaran tersebut, ia dapat membantu mengurangkan kos pengangkutan pelajar untuk bergerak di sekitar kawasan Lembah Klang. - Gambar fail/Astro AWANI
Advertisement

SHAH ALAM: Pengoperasian perkhidmatan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) Laluan Shah Alam memberi impak positif yang signikan dalam melancarkan pergerakan dan mengurangkan kesesakan trafik yang dihadapi pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata dengan adanya kemudahan Stesen UiTM Shah Alam di jajaran tersebut, ia juga dapat membantu mengurangkan kos pengangkutan mereka untuk bergerak di sekitar kawasan Lembah Klang.

"Saya dapat saksikan tadi ramai pelajar begitu teruja dan ia tentunya memberi kelegaan kepada mereka yang menghadapi masalah kesesakan untuk sampai ke kampus secara harian," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan inisiatif Semikonduktor@UiTM yang turut dihadiri Naib Canselor UiTM Profesor Datuk Dr Shahrin Sahib@Sahubuddin di Kompleks Kejuruteraan Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah UiTM, di sini, hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan tambang percuma bagi perkhidmatan LRT3 Laluan Shah Alam kepada semua penumpang bermula 29 Jun hingga 31 Julai ini pada pelancaran jajaran laluan itu Ahad lepas.

Terdapat 20 stesen baharu bagi LRT3 Laluan Shah Alam iaitu Bandar Utama, Kayu Ara, BU 11 (Bandar Utama 11), Damansara Idaman, Subang, Glenmarie 2, Kerjaya, Stadium Shah Alam, Dato’ Menteri, UiTM Shah Alam, Seksyen 7 Shah Alam, Bandar Baru Klang, Pasar Klang, Jalan Meru, Jambatan Kota, Taman Selatan, Seri Andalas, Klang Jaya, Bandar Bukit Tinggi dan Johan Setia.

Sementara itu, beliau berkata UiTM kini melangkah lebih jauh dalam memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab semikonduktor global menerusi pelancaran inisiatif strategik Semikonduktor@UiTM.

Zambry berkata inisiatif itu merupakan manifestasi komitmen universiti dalam menterjemahkan peruntukan daripada kerajaan untuk membangunkan ekosistem bakat berkemahiran tinggi yang memenuhi standard industri antarabangsa.

"UiTM telah membuktikan keupayaan dan komitmen yang tinggi dalam memanfaatkan peruntukan RM20 juta daripada kerajaan untuk membangunkan infrastruktur, kepakaran serta ekosistem pembelajaran yang mampu memenuhi keperluan industri semikonduktor negara.

"Pelaburan ini merupakan satu langkah besar dalam menterjemahkan dasar kerajaan kepada pembangunan modal insan yang berimpak tinggi kepada ekonomi negara," katanya.

Zambry berkata langkah proaktif itu dilihat sejajar dengan aspirasi Strategi Semikonduktor Kebangsaan (NSS) bagi memastikan negara tidak ketandusan tenaga kerja teknikal yang kompeten khususnya pada masa akan datang.

Katanya, dengan fasiliti terkini dan kurikulum yang dijajarkan mengikut keperluan semasa UiTM kini bersedia menjadi pusat utama bagi melahirkan graduan Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (E&E) yang mampu berdaya saing di peringkat global.

"Selain fokus kepada aspek latihan, inisiatif ini turut menekankan konsep pembelajaran silang antara kampus dan industri bagi memastikan pelajar mendapat pendedahan sebenar terhadap teknologi masa kini.

"Pendekatan ini membolehkan mahasiswa bukan sahaja belajar secara teori, malah terlibat secara langsung dengan pemain industri utama yang dikenal pasti dalam rantaian bekalan semikonduktor dunia," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata industri semikonduktor di Malaysia kini menyumbang 13 peratus kepada pasaran dunia dengan nilai pendapatan negara mencecah lebih RM300 bilion setiap tahun.

Katanya, kejayaan UiTM ini dijangka menjadi penanda aras kepada universiti lain dalam menggalas tanggungjawab membina masa depan industri berteknologi tinggi negara demi kemampanan ekonomi masa hadapan.

Terdahulu, Zambry mengetuai delegasi Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) merasai pengalaman menaiki LRT3 dari Stesen Stadium Shah Alam menuju ke Stesen UiTM Shah Alam sebelum melancarkan inisiatif Semikonduktor@UiTM.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement