MALAYSIA
Penguatkuasaan Akta 852 tangani peningkatan penggunaan vape golongan remaja - Lukanisman

Kerajaan terbuka mempertimbangkan pengharaman penuh jualan vape jika disokong data saintifik dan masyarakat. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Kawalan ketat melalui penguatkuasaan dan program pendidikan menjadi keutamaan Kementerian Kesihatan (KKM) dalam menangani peningkatan penggunaan produk rokok elektronik atau vape terutama dalam kalangan remaja.
Ringkasan AI
- Kementerian Kesihatan komited melaksanakan Akta 852 bagi mengawal penjualan rokok elektronik atau vape kepada individu bawah 18 tahun melalui penguatkuasaan dan pendidikan.
- Program kesedaran dan intervensi diteruskan di sekolah, IPT dan komuniti untuk menangani ketagihan nikotin, dengan beberapa negeri seperti Kedah dan Terengganu menyatakan hasrat melarang penjualan vape.
- Kerajaan terbuka mempertimbangkan pengharaman penuh jualan vape jika disokong data saintifik dan masyarakat, manakala kutipan cukai vape akan disalurkan semula kepada sektor kesihatan.
"Namun, di peringkat Kerajaan Persekutuan, kita kekal dengan Akta 852 yang telah digubal bagi memastikan kawalan ketat dikenakan terutama penjualan kepada individu berumur bawah 18 tahun," katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Meja Bulat Pengurangan Kemudaratan 2025 di sini hari ini.
Beliau berkata KKM kini melaksanakan pendekatan melalui penguatkuasaan kesalahan berkaitan penjualan dan pengiklanan serta pendidikan kepada pengguna dan peniaga.
Lukanisman juga berkata pelbagai program kesedaran dan intervensi akan terus dilaksanakan di sekolah, institusi pengajian tinggi (IPT) dan komuniti bagi menangani ketagihan nikotin dalam kalangan generasi muda.
Dalam pada itu, beliau berkata KKM telah mengadakan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri yang dipengerusikan oleh Menteri Kesihatan baru-baru ini.
"Dalam mesyuarat itu, Kedah dan Terengganu telah menyatakan hasrat larangan penjualan atau pemberian lesen kepada premis-premis tertentu bagi penjualan produk vape.
"Namun, berlandaskan kenyataan media terdahulu oleh menteri, kita terbuka untuk mempertimbangkan pengharaman penuh jualan vape, jika terdapat data saintifik dan sokongan masyarakat ke arah itu," katanya.
Pada masa sama, Lukanisman memaklumkan kerajaan menerusi kenyataan Perdana Menteri dalam sesi Parlimen sebelum ini menyatakan kutipan cukai daripada penjualan vape akan disalurkan semula kepada sektor kesihatan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami