ALOR SETAR: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii), mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Alor Setar, hari ini atas 12 pertuduhan terlibat dengan aktiviti pengubahan wang haram berjumlah RM1.038 juta, pada 2021 dan 2022.

Datuk Mohamad Madani Sahari, 56, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah.

Tertuduh didakwa dengan 10 pertuduhan menerima hasil aktiviti haram daripada akaun bank milik peguamnya, Norizan and Associates berjumlah RM1 juta.

Dua lagi pertuduhan, dia dituduh menerima hasil aktiviti haram berjumlah RM38,000 daripada Trillion Cove Holdings Berhad, hasil pembelian saham Redeemable Preference Share-i berjumlah RM1 juta.

Dia dituduh melakukan kesemua kesalahan itu di Malayan Banking Berhad Cawangan Kulim, antara 7 September 2021 hingga 22 Februari 2022.

Dia didakwa mengikut Seksyen 4 (1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613).

Timbalan Pendakwa Raya Noor Syafina Mohd Radzuan, memohon mahkamah mengguna pakai jaminan RM300,000 yang ditetapkan oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam sebelum ini.

Peguam Wan Aizuddin Wan Mohammed dan Rahmat Abu Bakar yang mewakili tertuduh turut bersetuju untuk menggunakan pakai jaminan berkenaan.

Hakim Rohatul Akmar juga membenarkan permohonan pendakwaan dan menetapkan syarat tambahan iaitu seorang penjamin dan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Mahkamah turut membenarkan permohonan pihak pendakwaan dengan sebutan semula kes pada 9 Jun depan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Tertuduh sebelum ini telah didakwa sebanyak tiga kali di Mahkamah Sesyen Shah Alam dan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, sebelum pendakwaan di Mahkamah Sesyen Alor Setar hari ini.