Seorang pengurus bar dibelasah dan ditetak sampai mati oleh sekumpulan lelaki di depan sebuah pub di Petaling Jaya, awal pagi Ahad.

Mangsa dikenali sebagai Edward Rishal S Reggie berusia 28 tahun dan bekerja sebagai pengurus bar di Bangsar.

Mangsa disahkan mati pada jam 7.40 pagi oleh pegawai perubatan yang tiba di lokasi kejadian.

Menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohd Zaini Che Din berkata berdasarkan rakaman kamera litar tertutup premis, berlaku pertengkaran antara sekumpulan individu kira-kira jam 5.32 pagi.

"Namun pada jam 6.38 pagi empat buah kenderaan jenis Perodua Myvi, Honda HRV dan Volkswagon Golf dan Toyota Camry dinaiki sekumpulan lelaki tiba-tiba datang dan menyerang suspek," katanya kepada pemberita.

Berdasarkan rakaman kamera litar menunjukkan suspek menetak mangsa menggunakan senjata parang dan mangsa yang cedera parah bertindak melarikan diri ke dalam pub berkenaan.

Polis berkata tiga lelaki tempatan berusia 20 hingga 31 tahun berjaya ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.