SABAK BERNAM: Peniaga bazar Ramadan diingatkan untuk mematuhi peraturan jualan termasuk meletakkan tanda harga atau berhadapan tindakan tegas, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali.
Beliau berkata perkara itu tidak boleh dipandang ringan dan penguat kuasa akan melakukan rondaan bagi memantau elemen pencatutan serta pematuhan peniaga terhadap kewajipan tersebut.
Advertisement
“Kita harap mereka yang ke bazar Ramadan boleh bantu menyalurkan maklumat jika ada peniaga tidak meletakkan tanda harga. Maklumkan bazar mana dan kita akan pantau segera.
“Komitmen kita ialah akan mengambil tindakan susulan dalam tempoh 24 jam dalam apa-apa isu berkaitan harga termasuk penandaan harga,” katanya selepas melancarkan Inisiatif Ihsan Food Bank (i-FB) di sini hari ini.
Armizan berkata kerajaan juga mengambil pendekatan proaktif dalam memastikan bekalan bahan mentah mencukupi bagi mengelakkan gangguan rantaian bekalan yang boleh menjejaskan keseimbangan permintaan dan penawaran.
Bagi tujuan itu, beliau berkata kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Penstabilan Bekalan pada tahun lepas yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi menyelaras isu bekalan, khususnya dalam tempoh perayaan.
“Jawatankuasa itu melibatkan kerjasama rentas kementerian termasuk Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan serta Jabatan Perkhidmatan Veterinar bagi memastikan bekalan mencukupi ketika permintaan meningkat.
“Kita akan terus pastikan tahun ini, bukan hanya menjelang Ramadan dan Aidilfitri, bekalan mencukupi seterusnya mengelakkan harga melambung tinggi," katanya.
-- BERNAMA