Skip to main content

Malaysia

Peniaga durian didakwa muat naik hantaran palsu berkaitan bahan api

SEPANG, 30 Jun -- Peniaga durian Nurhafizul Badrul Hisham, 34, (kanan) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini, atas tuduhan memuat naik hantaran palsu berkaitan dakwaan penjualan 52 juta liter bahan api kepada Filipina menerusi akaun Facebook miliknya pada April lepas.  Hakim Ahmad Fuad Othman menetapkan jaminan sebanyak RM7,000 dan 5 Ogos ini sebagai tarikh serahan dokumen.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Peniaga durian Nurhafizul Badrul Hisham, 34, (kanan) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini, atas tuduhan memuat naik hantaran palsu berkaitan dakwaan penjualan 52 juta liter bahan api kepada Filipina menerusi akaun Facebook miliknya pada April lepas. - Foto BERNAMA
Advertisement

SEPANG: Seorang peniaga durian mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memuat naik hantaran palsu berkaitan dakwaan penjualan 52 juta liter bahan api ke Filipina menerusi akaun Facebook miliknya, April lepas.

Nurhafizul Badrul Hisham, 34, selaku Orang Kena Saman (OKS) didakwa membuat dan memulakan hantaran komunikasi dengan niat menyakiti hati orang lain di Facebook menerusi akaun "Nurhafizul Badrul Hisham" pada 12 April.

Hantaran itu kemudian dilihat di Menara 1, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Cyberjaya pada 6.48 pagi 13 April.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(2) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya dan dikenakan denda selanjutnya RM5,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan, jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa MCMC Mohd Farhan Kamarudin mencadangkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin kepada bapa dua anak itu.

Peguam Muhammad Nazrul Hakim Md Nazir memohon jaminan rendah iaitu RM5,000 kerana anak guamnya berniaga durian dengan pendapatan tidak tetap selain menanggung isteri yang tidak bekerja.

“OKS mempunyai anak yang masih kecil berusia tiga dan lima tahun serta menjaga ayah berusia 96 tahun yang menghidap strok dan ibu berumur 65 tahun,” katanya.

Hakim Ahmad Fuad Othman membenarkan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 5 Ogos untuk sebutan semula kes.

Nurhafizul membayar jaminan itu.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement