Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memberi amaran kepada semua penjaja dan peniaga kecil agar tidak menyewakan premis perniagaan mereka yang disediakan kerajaan kepada orang lain terutama warga asing.

Beliau berkata golongan itu perlu lebih bertanggungjawab dan mengambil peluang daripada bantuan yang disalurkan kerajaan itu untuk memajukan diri dan tidak hanya bergantung kepada sewa yang dibayar oleh orang lain yang berniaga di premis tersebut.

"Saya pantang sekali, kalau saya dengar, kalau ada kawasan premis perniagaan yang sangat baik tapi bila kita pergi sana, kita dengar bahasa (yang digunakan oleh peniaga di situ) lain.

"Sebab kita sediakan peluang ini untuk penjaja dan peniaga kita dan mereka mestilah bertanggungjawab, jangan cari jalan mudah mahu dapat sewa daripada orang lain," katanya semasa berucap merasmikan sambutan Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Kebangsaan di Dataran Senawang, di sini hari ini.

Beliau berkata menyewakan premis perniagaan kepada orang lain bukanlah tindakan yang bijak atau menguntungkan sebaliknya hanya merugikan penjaja atau peniaga kecil terbabit.

Najib berkata jika penjaja dan peniaga kecil mampu memanfaatkan peluang dan berusaha bersungguh-sungguh untuk memajukan diri, mereka pasti akan mendapat pulangan dan kejayaan yang lebih besar.

Dalam ucapannya, perdana menteri turut menggesa semua pihak berkuasa tempatan agar melonggarkan syarat untuk mendapatkan lesen perniagaan selain memansuhkan caj tahunan yang dikenakan terhadap lesen tersebut untuk tempoh masa tertentu.

Langkah itu, katanya, bagi menggalakkan penyertaan orang ramai dalam perniagaan selain memudahkan mereka menjalankan dan menguruskan perniagaan.

"Kita mahu bagi peluang kepada golongan penjaja yang mahu memulakan perniagaan kerana golongan ini memang perlu terus dibantu kerajaan untuk memajukan diri mereka," katanya.

Beliau berkata golongan penjaja dan peniaga kecil sememangnya sentiasa diberi perhatian serius kerajaan kerana melaksanakan peranan yang amat penting dan boleh dianggap sebagai teras dalam struktur ekonomi negara.

Perdana Menteri berkata sebanyak 98.5 peratus perniagaan di negara ini terdiri daripada perniagaan kecil dan sederhana dengan 75 peratus daripada jumlah itu adalah golongan penjaja dan peniaga kecil.

"Kalau kita melihat dari segi usaha untuk mengembangkan lagi golongan peniaga di negara kita, maka golongan penjaja dan peniaga kecil inilah yang patut diberi pertolongan, bimbingan dan bantuan oleh kerajaan," katanya.

Kerajaan, katanya, memperuntukkan sebanyak RM150 juta dalam tempoh dua tahun ini untuk golongan penjaja dan peniaga kecil dalam bentuk bantuan pinjaman menerusi Bank Rakyat untuk mereka memulakan perniagaan.

Pinjaman itu yang berjumlah RM3,000 diberikan tanpa dikenakan kadar faedah dan jika mereka mahu terus mengembangkan perniagaan, mereka seterusnya boleh membuat pinjaman dengan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga yang menawarkan kadar pinjaman lebih tinggi, kata perdana menteri.

Sambutan Hari Penjaja dan Peniaga Kecil yang berlangsung selama tiga hari bermula semalam bertujuan menghargai jasa dan peranan golongan itu terhadap pembangunan masyarakat dan ekonomi negara selain menyediakan platform untuk mereka berinteraksi dalam mengembangkan perniagaan.

Turut hadir ke majlis itu isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hasan Malek.