ALOR SETAR: Seramai 30 peniaga di Medan Pasar Besar di sini membantah kadar sewa tapak niaga baharu yang didakwa 'naik mencanak' dan menuntut penjelasan segera daripada pihak Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) mengenai perkara tersebut.

Peniaga mendakwa kadar sewa dinaikkan daripada RM90 kepada RM550, dijangka berkuat kuasa 1 Februari ini, dan menyifatkan ia sebagai tidak masuk akal kerana boleh menyebabkan mereka 'gulung tikar' memandangkan kebanyakannya adalah peniaga kecil daripada golongan B40.

Peniaga minuman, Shahi Zabiad Mohd Sharif, 35, berkata masalah timbul selepas medan selera itu diswastakan kepada sebuah syarikat yang telah menjalankan kerja-kerja menaik taraf dan menguruskannya sejak tiga bulan lepas.

"MBAS tidak maklumkan tentang penswastaan itu, tiba-tiba wakil syarikat swasta datang beritahu syarat dan kadar sewa baharu dinaikkan daripada RM90 kepada RM550 sebulan dan juga kena bayar deposit RM2,000 untuk mula berniaga semula pada 1 Februari depan.

"Kami terkejutlah, saya rasa inilah rekod sewa tertinggi di Alor Setar. Di mana kami nak cari duit sedangkan kami jual kopi, jual nasi lemak saja, harapan kami agar diturunkan pada kadar munasabah," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Shahi Zabiad berkata dia juga kecewa dengan sikap pihak berkenaan yang mendakwa akan menyingkirkan peniaga yang gagal melunaskan sewa bulanan secara konsisten dan akan memasukkan peniaga baharu.

"Kita dah pi ke MBAS pagi tadi dan pihak MBAS kata Datuk Bandar ada mesyuarat. Kita akan bertemu semula untuk minta pencerahan mengenai penswastaan itu dan sewa yang tinggi... minta MBAS tolong campur tangan dalam isu ini," katanya.

Zahira Shokut Ali, 45, pula berkata kenaikan itu tidak patut berlaku kerana tiada perubahan pada tapak niaga, kelengkapan dan kemudahan lain di premis mereka.

"Kami berniagapun tak okey sangat la ni. Isnin sampai Khamis tak ada orang, Jumaat sampai Ahad saja ada ramai orang... ada peniaga ibu tunggal, anak banyak sekolah, anak nak pi universiti, nak pakai duit banyak. Bulan puasa nanti kami cuti sebulan tak berniaga, kami nak bayar sewa macam mana," katanya yang juga menjalankan perniagaan menjual air.

Sementara itu, Yang Dipertua Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia negeri Kedah Baharudin Mohd Ali berkata pihaknya telah menghantar surat bantahan penswastaan medan selera pasar berkenaan kepada pihak MBAS untuk tindakan lanjut.

"Kita harap MBAS dapat mencari jalan penyelesaian terbaik kepada peniaga yang telah lama berniaga di situ. Kita harap ada satu pertemuan dengan semua peniaga dalam tempoh terdekat," katanya.

-- BERNAMA