IPOH: Seorang ahli perniagaan wanita diperdaya sindiket pemberi pinjam wang yang tidak wujud sehingga kerugian sebanyak RM213,700.

Ketua Polis Perak Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata hasil siasatan awal pihak polis mendapati mangsa yang berusia 51 tahun itu telah melihat satu iklan pinjaman wang di Instagram atas satu penama.

"Mangsa berhasrat membuat pinjaman sebanyak RM70,000 dan telah menghubungi nombor talian diiklankan.

"Dia berurusan dengan seorang lelaki yang kemudian meminta mangsa membuat beberapa transaksi pembayaran sebagai wang proses bagi mendapatkan pinjaman itu," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Yusri berkata sejak 11 hingga 16 September lepas, mangsa telah melakukan sebanyak 25 transaksi pembayaran kepada 16 akaun bank yang berbeza dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM100,020 sepertimana yang telah diarahkan oleh suspek.

Selain itu juga, mangsa turut melihat iklan pinjaman yang kedua di Instagram daripada syarikat lain dan ingin buat pinjaman sebanyak RM60,000.

"Dia telah membuat urusan dengan suspek kedua yang turut meminta wang proses serta bayaran perkhidmatan dan telah melakukan transaksi sebanyak 24 kali ke 14 akaun yang berbeza dengan jumlah keseluruhan RM113,680," katanya.

Beliau berkata bagaimanapun setelah 49 kali transaksi dibuat bagi kedua-dua pinjaman berkenaan, mangsa masih gagal mendapatkan keseluruhan amaun sepertimana dijanjikan kedua-dua suspek.

"Apabila mangsa cuba bertanyakan kepada kedua-dua suspek berkaitan pinjaman yang diminta melalui panggilan telefon serta mesej, ia tidak dilayan bahkan nombor mangsa telah disekat.

"Mangsa mula menyedari dirinya ditipu dan membuat laporan polis, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan siasatan masih dijalankan," katanya

-- BERNAMA