Skip to main content

Malaysia

Peningkatan aktiviti ketenteraan AS-Filipina di Pulau Balabac: Mindef jamin kedaulatan Sabah

Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari ketika sesi Pertanyaan - Pertanyaan Bagi Jawab Lisan sempena Mesyuarat Ketiga, Penggal Kelima, Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto Bernama
Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari ketika sesi Pertanyaan - Pertanyaan Bagi Jawab Lisan sempena Mesyuarat Ketiga, Penggal Kelima, Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto Bernama

Advertisement

Ringkasan AI

  • Kementerian Pertahanan memberi jaminan keselamatan dan kedaulatan Sabah terpelihara walaupun terdapat peningkatan aktiviti ketenteraan AS dan Filipina di Pulau Balabac.
  • ATM memperkukuh kesiapsiagaan di Sabah melalui kawalan sempadan, pengawasan darat, maritim dan udara serta penggunaan radar, dron dan aset pemantauan.
  • Malaysia turut mengukuhkan kerjasama pertahanan dan diplomasi, menekankan ASEAN kekal berkecuali serta merancang penstrukturan pertahanan Sabah hingga tahun 2050.

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan memberikan jaminan kedaulatan dan keselamatan Sabah berada dalam keadaan terpelihara meskipun terdapat peningkatan aktiviti tentera Amerika Syarikat (AS) dan Filipina di Pulau Balabac, yang terletak berhampiran sempadan negara.

Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata kementerian sentiasa memantau perkembangan pertahanan dan sebarang peningkatan aktiviti ketenteraan negara asing serta menilai implikasi terhadap keselamatan dan kepentingan strategik negara.

Beliau berkata meskipun secara asasnya Malaysia menghormati hak kedaulatan negara jiran untuk menjalin kerjasama memperkukuh sistem pertahanan mereka, aspek pertahanan negara tetap dipastikan kekal kukuh, kredibel dan berkeupayaan menghadapi sebarang perubahan keselamatan persekitaran. 

"Sehubungan dengan itu, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah dan akan terus memperkukuh kesiapsiagaan di Sabah, khususnya di kawasan utara meliputi Kudat, Pulau Banggi, dan juga Pulau Balambangan (yang terletak berhampiran dengan Pulau Balabac, Filipina).”

"Ini dilakukan menerusi pengukuhan kawalan sempadan, pengawasan darat, maritim dan udara serta peningkatan keupayaan Intelligence, Surveillance and Reconnaissance (ISR) dan juga Maritime Domain Awareness (MDA) melalui penggunaan radar dan dron serta aset pemantauan maritim dan udara," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Datuk Ewon Benedick (PH-Penampang) yang ingin tahu langkah Kementerian Pertahanan di wilayah utara Sabah susulan pembangunan kemudahan ketenteraan Amerika-Filipina di Pulau Balabac yang terletak hanya 50 km dari kawasan pesisiran pantai negara di Sabah.

Adly berkata pihaknya juga berusaha untuk memperkukuh pertahanan melalui konsep Pertahanan Menyeluruh (HANRUH) melalui pendekatan Whole-of-Government dan Whole-of-Society (WOGOS) dengan melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Eastern Sabah Security Command (ESSCOM), Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kerajaan Negeri Sabah serta agensi berkaitan.  

"Di samping itu, kita berusaha memperkukuh kerjasama pertahanan dengan negara-negara sahabat melalui perkongsian maklumat, latihan, dan juga eksesais serta program literasi pertahanan," katanya.

Selain memperkukuh keupayaan pertahanan negara, beliau berkata Malaysia turut menggunakan pendekatan diplomasi untuk memastikan keseimbangan strategik di Asia Tenggara dengan ASEAN sebagai platform utama.

"Dan perkara ini kita berikan penekanan untuk menegakkan pendirian Malaysia bahawa ASEAN harus kekal berkecuali dan tidak berpihak agar negara-negara di rantau ini tidak didesak untuk memilih mana-mana kuasa besar dunia," katanya.

Dalam pada itu, Adly berkata penstrukturan dan perancangan domain pertahanan negara di Sabah dirangka bagi jangka panjang hingga 2050 merangkumi perolehan pelbagai aset baharu seperti Kapal Misi Pesisir (LMS), pesawat pejuang ringan FA-50M, serta Kapal Tempur Pesisir (LCS).

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement