Skip to main content

Malaysia

Penipuan dalam talian: Kerjasama transnasional perlu diperkukuh, lumpuhkan dalang - Pakar

51744780752_TBGENERICMACAUSCAM.jpg
Malaysia perlu memperkukuh kerjasama antarabangsa bagi membolehkan perkongsian risikan, pengesanan aliran wang dan tindakan penguatkuasaan dilakukan dengan lebih pantas merentasi bidang kuasa. - Gambar hiasan
Advertisement

KUALA LUMPUR: Kerugian hampir RM1 bilion akibat penipuan dalam talian bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini menjadi isyarat jelas bahawa penguatkuasaan domestik semata-mata tidak lagi memadai untuk mengekang sindiket transnasional yang semakin licik.

Pakar Kriminologi Datuk Dr P. Sundramoorthy berpandangan Malaysia perlu memperkukuh kerjasama antarabangsa bagi membolehkan perkongsian risikan, pengesanan aliran wang dan tindakan penguatkuasaan dilakukan dengan lebih pantas merentasi bidang kuasa.

Beliau berkata Malaysia wajar menilai secara serius penyertaan dalam Gabungan Antipenipuan Antarabangsa yang bakal dilancarkan China pada September ini, yang dijangka melibatkan lebih 40 negara.

“Jika gabungan itu menyediakan mekanisme berkesan untuk perkongsian risikan, penyelarasan operasi dan pengesanan aliran wang, Malaysia wajar mempertimbangkan penyertaan secara serius,” katanya kepada Bernama. 

Pada 18 Ogos lepas, Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil memaklumkan kerugian penipuan dalam talian di Malaysia mencecah RM958 juta bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini.

Sundramoorthy berkata keperluan untuk bekerjasama dengan agensi luar semakin mendesak memandangkan sindiket penipuan kini beroperasi sebagai rangkaian jenayah terancang yang memanfaatkan teknologi dan infrastruktur digital di pelbagai negara.

“Mangsa mungkin berada di Malaysia, penipu di negara lain, pelayan digital di negara ketiga manakala wang dipindahkan melalui beberapa negara,” katanya.

Beliau berkata struktur sedemikian menyebabkan tindakan dalam satu bidang kuasa hanya memutuskan sebahagian daripada rantaian jenayah tanpa menyentuh dalang yang mengendalikannya.

“Jika siasatan hanya tertumpu di Malaysia, kita mungkin menangkap ‘orang tengah’ tetapi gagal mengenal pasti dalang sebenar,” katanya.

Gabungan antarabangsa yang bakal dilancarkan pada Persidangan Forum Kerjasama Keselamatan Awam Global 2026 di Lianyungang, China itu bertujuan menyelaras tindakan terhadap penipuan telekomunikasi rentas sempadan menerusi siasatan bersama dan penguatkuasaan terkoordinasi.

Menurut Sundramoorthy, kepantasan perkongsian maklumat antara negara adalah faktor penting memandangkan wang hasil penipuan boleh dipindahkan melalui beberapa lapisan akaun antarabangsa dalam tempoh yang sangat singkat.

Beliau berkata kerjasama rentas sempadan sebelum ini melibatkan China dengan beberapa negara termasuk Malaysia, Indonesia, Thailand dan Kemboja membuahkan hasil dengan penahanan serta penghantaran pulang lebih 20,000 suspek penipuan sepanjang tahun ini.

Sundramoorthy bagaimanapun berpendapat ukuran kejayaan sebenar bukan sekadar pada jumlah tangkapan atau nilai wang yang diperoleh semula, sebaliknya keupayaan sistem antarabangsa itu untuk melumpuhkan keseluruhan ekosistem rangkaian berkenaan.

Beliau ketika mengulas mengenai faktor geopolitik berkata perbezaan ideologi antara negara tidak seharusnya menjadi penghalang kepada kerjasama memerangi jenayah transnasional selagi kedaulatan, undang-undang dan perlindungan data Malaysia dihormati.

“Penipuan tidak menunggu penyelesaian pertikaian diplomatik sebelum memindahkan wang atau operasi mereka.

“Penyertaan Malaysia hendaklah dilihat berdasarkan kepentingan keselamatan dan jenayah, bukan semata-mata geopolitik,” katanya.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement