BANGKOK: Kerajaan melalui Kementerian Komunikasi dan Digital sedang mencari penyelesaian untuk memperketatkan undang-undang bagi mengekang sindiket penipuan siber.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ini kerana Malaysia berpendirian tegas terhadap isu jenayah berkenaan bagi mengelakkan rakyat negara ini dari terus menjadi mangsa.

Selain itu, jelas beliau, Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut mengambil langkah perlu terhadap pelaku yang terlibat.

"(Penipuan siber) Ini kita ambil pendirian yang agak tegas tetapi kita juga ajak rakyat supaya lebih peka dengan perkara ini, orang yang menipu sentiasa ada dan berselindung di beberapa negara seperti di Myanmar.

"Jadi kita tak boleh dengan mudah mengizinkan ini (rakyat) diperdaya.

"Sekarang dari segi Menteri Komunikasi dan Multimedia, Fahmi Fadzil mencari jalan untuk memperketatkan undang-undang dan PDRM juga mengambil langkah yang perlu. Tetapi selain itu, kita hanya mampu nasihat tetapi undang-undang akan diperkenalkan untuk (sindiket) penipuan," katanya di sini pada Jumaat.

Perdana Menteri berkata demikian dalam sidang akhbar bersama media Malaysia selepas menamatkan siri lawatan kerja dua hari ke Thailand.

Sebelum itu, Anwar diminta mengulas insiden melibatkan lima rakyat Malaysia yang mendakwa telah diperdayakan untuk ke Myanmar dan dipaksa bekerja dalam sindiket penipuan siber.

Media melaporkan kelima-lima mereka telah diselamatkan dan kini berada di Bangkok untuk dibawa pulang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teruntum, Sim Chon Siang, pihak lain dan sepasukan Tentera Thai telah ke KK Gardens di Myawaddy, Myanmar pada 3 Februari serta menyelamatkan Adam Iskandar Tukiman, 20; Akmar Hamsan, 19; Kamil Abd Hamid, 25; Nur Fitriani Abdullah, 19, dan Lee Zhi Cong yang ditahan di situ.