KUALA LUMPUR: Taktik penipuan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) yang kononnya dihantar daripada syarikat telekomunikasi terkenal dikesan kembali aktif sejak awal tahun ini.

Sejak 1 Januari hingga 14 April lalu, polis menerima 18 kes membabitkan nilai kerugian RM229,868, yang menyasarkan mangsa melalui penghantaran SMS ke telefon bimbit mereka.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf memberitahu, kandungan SMS itu menyatakan mangsa mempunyai mata ganjaran yang bakal tamat tempoh dan digesa segera menebus mata tersebut melalui pautan yang disertakan.

"Mangsa yang menekan pautan tersebut akan diminta untuk memasukkan maklumat perbankan dalam talian milik mereka termasuklah nombor OTP (kata laluan sekali guna) yang diterima.

"Mangsa kemudiannya akan mendapati wang akaun bank mereka berkurangan," katanya pada sidang media di sini, pada Jumaat.

Ramli berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, dan orang ramai diingatkan untuk tidak mudah terpedaya serta dinasihatkan untuk mendapatkan pengesahan daripada syarikat telekomunikasi berkaitan sekiranya menerima SMS yang meragukan.

Dalam perkembangan lain, beliau  mengingatkan orang ramai supaya tidak terpedaya dengan pemberian hadiah percuma dari rumah ke rumah, yang dipercayai taktik terbaharu sindiket penipuan.

Ini berikutan video tular baru-baru ini memaparkan hadiah botol air yang mempunyai cetakan kod pengimbas QR yang apabila diimbas kononnya akan membolehkan orang ramai memenangi kupon tunai bernilai RM200.

Namun hakikatnya, Ramli berkata, apabila kod tersebut diimbas, mangsa akan diminta untuk memasukkan maklumat perbankan yang kemudiannya akan mengakibatkan mangsa kehilangan wang daripada akaun bank mereka.

"Diingatkan, ini merupakan satu cubaan penipuan melalui kaedah phishing dan orang ramai dinasihatkan untuk tidak mengimbas kod QR yang diberikan," katanya.

Katanya, setakat ini tiada sebarang laporan polis diterima, namun taktik ini harus dihebahkan kepada setiap lapisan masyarakat sebagai informasi dan langkah pencegahan.

Sebelum ini, sebuah portal melaporkan sindiket penipuan didakwa menggunakan taktik memberikan hadiah percuma dengan mengagihkannya dari rumah ke rumah walaupun barang itu tidak dipesan.

Perkongsian yang tular di aplikasi WhatsApp menunjukkan satu rakaman seorang lelaki mendakwa mendapat hadiah botol air atau tumbler percuma yang diletakkan di pintu pagar rumahnya.

Apa yang mencurigakan ialah kod QR pada botol air itu yang turut didatangkan dengan ayat 'pancing' kononnya orang ramai boleh memenangi kupon tunai apabila mereka berbuat demikian.