KUALA LUMPUR: Kira-kira 8,000 penjawat awam Pahang bakal menerima bantuan khas Aidilfitri sebanyak RM1,000.

Perkara itu diumumkan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail pada Majlis Penyerahan Baucar Moh Balik Beraya ke Pahang di sini, malam tadi.

"Saya akan beritahu kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang (Datuk Seri Zulkifli Yaacob), sudah pasti sebelum hari raya (bantuan diterima)," katanya ketika ditemui selepas majlis itu.

Terdahulu dalam ucapannya, Wan Rosdy berkata kerajaan Pahang telah membelanjakan sebanyak RM100 juta menerusi Bantuan Prihatin Pahang sejak diperkenalkan pada 2022 hingga hujung tahun lepas.

Beliau berkata antara yang disalurkan menerusi inisiatif itu ialah bantuan RM300 kepada bayi yang lahir di Pahang, bantuan RM100 kepada setiap murid Tahun 1, bantuan RM300 kepada setiap pasangan yang berkahwin kali pertama dan bantuan RM750 kepada setiap jemaah haji.

"Selain itu pada tahun ini, kerajaan negeri telah bersetuju untuk menubuhkan Tabung Prihatin Pahang dengan peruntukan RM5 juta yang merupakan satu lagi inisiatif terbaharu bagi membantu rakyat dalam kalangan B40," katanya.

Menurut Wan Rosdy kerajaan negeri berhasrat untuk meneruskan Penyerahan Baucar Moh Balik Beraya ke Pahang pada tahun hadapan berikutan sambutan luar biasa ditunjukkan oleh rakyat Pahang yang berada di perantauan pada malam ini.

Beliau berkata untuk edisi pertama program itu, sebanyak 5,000 anak Pahang yang berada di perantauan menerima baucar minyak sebanyak RM50 seorang melibatkan peruntukan RM250,000.

"Jumlah keseluruhan data pemohon untuk bantuan ini hingga 24 Mac lepas adalah seramai 22,000 pemohon," katanya menambah majoriti permohonan diterima dari Selangor dan Kuala Lumpur.

Program itu juga, katanya memberi peluang kepada perantau anak Pahang untuk beramah mesra dan merapatkan silaturahim dengan kepimpinan negeri.

-- BERNAMA