KUALA LUMPUR:Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengingatkan semua anggota pelbagai peringkat yang terlibat dalam operasi kawalan persempadanan untuk terus berwaspada dan bersiap siaga susulan insiden tembakan di pos sempadan Malaysia-Thailand di Padang Besar, semalam.

Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, mereka yang terlibat dalam jenayah rentas sempadan dan penyeludupan boleh bertindak di luar batasan demi melepaskan diri daripada ditahan pihak berkuasa.

Justeru, jelasnya ATM memandang serius insiden tersebut, selain giat mempertingkat dan memperkukuh kawalan persempadanan khususnya di lorong-lorong tikus.

“Lorong (tikus) merupakan tumpuan aktiviti jenayah rentas sempadan dan penyeludupan serta perlu diberi perhatian atas faktor ancaman yang bukan sahaja mengganggu-gugat kedaulatan negara malah risiko tindakan penjenayah yang boleh memberi ancaman keselamatan kepada anggota ATM yang bertugas.

“Mereka (penjenayah) juga tidak bersendirian dan berkemungkinan bernaung di bawah sindiket-sindiket tertentu yang menjurus kepada aktiviti jenayah berat dan bersenjata,” katanya dalam satu kenyataan, di sini pada Rabu.

Mengulas lanjut, Affendi berkata, jenayah rentas sempadan serta aktiviti penyeludupan tidak pernah berhenti termasuk ketika penularan pandemik COVID-19.

Bagaimanapun tegas beliau, ATM sentiasa berusaha memperkasa dan memperkemaskan kawalan keselamatan persempadanan melalui kekerapan rondaan, di samping penggunaan aset seperti dron bagi mengesan sebarang pergerakan di sempadan negara.

Jelas beliau lagi, operasi kawalan persempadanan bukan sahaja tertumpu kepada daratan, malah turut melibatkan persempadanan maritim negara termasuk Sabah dan Sarawak.

“Kesiagaan dari segi aset dan kebersediaan warga ATM sentiasa berada di tahap yang tertinggi dalam melaksanakan amanah yang telah dipertanggungjawabkan agar dapat membendung sebarang anasir asing yang cuba mengganggu gugat keamanan dan kedaulatan negara,” katanya.

BACA: Anggota PGA ditembak: Mendiang Koperal Baharuddin rajin, berani - Rakan baik

Affendi berkata, aktiviti jenayah rentas sempadan, termasuk aktiviti penyeludupan didalangi penduduk setempat dan warganegara jiran. 

“Justeru, masyarakat harus tampil kehadapan serta turut menjadi mata dan telinga dalam menyalurkan maklumat kepada pasukan keselamatan.

“Sebarang maklumat aktiviti jenayah rentas sempadan boleh menghubungi hotline Pusat Operasi NTF di talian 011-62511223,” katanya.

Terdahulu, anggota Pasukan Gerakan Am (PGA), Koperal Baharuddin Ramli maut akibat ditembak semasa sedang bertugas, sementara seorang lagi, Koperal Norihan Tari, mengalami kecederaan parah.