Seorang penolong pegawai veterinar di Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Johor sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas dakwaan menerima rasuah.

Tertuduh, Mohd Razi Basar, 41 tahun, mengaku tidak bersalah terhadap tiga pertuduhan menerima rasuah sebanyak RM3,500 antara November 2013 hingga Oktober 2014.

Tertuduh membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Mohd Fauzi Mohd Nasir.

Mengikut pertuduhan pertama, Mohd Razi yang juga Ketua Unit Ruminan didakwa menerima wang sebanyak RM1,000 dalam akaun bank miliknya daripada Pengurus Syarikat Better Z Enterprise, Mohamad Zakariah Mohamad di sebuah bank di Johor Bahru City Square pada 21 November 2013.

Perbuatannya itu didakwa ada kaitan dengan tugas rasminya sebagai pegawai yang bertanggungjawab bagi kerja membekal dan menghantar binaan kandang kambing.

Manakala bagi pertuduhan kedua dan ketiga, tertuduh pada 12 Mei dan 10 Oktober 2014 menerima RM1,500 dan RM1,000 dalam akaun bank miliknya daripada individu sama.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Norsyarina Raizan, manakala tertuduh diwakili peguam Tan Song Yan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 19 Januari ini untuk sebutan semula kes.

Pada 19 Jun tahun lalu, tertuduh pernah didakwa di mahkamah sesyen sama atas empat pertuduhan menerima RM35,000 daripada seorang kontraktor, antara 1 Ogos 2013 hingga 10 April 2014 dan mengaku tidak bersalah ke atas semua pertuduhan.