Pembatalan perjanjian penstrukturan air antara kerajaan Negeri Selangor dengan Kerajaan Persekutuan dilihat lebih menjurus kepada soal menjaga kepentingan politik berbanding keperluan rakyat.

Pakar dan penganalisis politik berpendapat tindakan kerajaan Selangor itu bukan untuk menyelesaikan permasalahan rakyat dan isu semasa di negeri itu, sebaliknya hanya untuk bermain politik dan mencabar Kerajaan Persekutuan.

Malah, bagi pakar dan penganalisis itu, apa sahaja urusan dengan Kerajaan Persekutuan yang sebelum ini dimeterai atau dibuat bekas Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan dicabar Pakatan Rakyat termasuk isu air.

Dekan Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM) Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata keputusan oleh Menteri Besar Mohamed Azmin Ali itu seolah-olah dibuat tanpa memikirkan kesan dan akibat kepada rakyat di Selangor.

"Saya lihat dia berani buat (batalkan perjanjian air) kerana mungkin dia rasa kesan pembatalan itu kepada rakyat Selangor kurang. Dia juga rasakan ia tidak akan menjejaskan Pakatan Rakyat di Selangor.

"Tapi kita sedia maklum Selangor memang menghadapi masalah air sebelum ini dan saya percaya dia sedar perkara itu tetapi saya tidak pasti jika dia ada pelan alternatif untuk menghadapi masalah itu nanti," katanya ketika dihubungi Bernama, Rabu.

Isnin lalu, Mohamed Azmin mengumumkan bahawa kerajaan negeri memutuskan untuk membatalkan perjanjian penstrukturan air itu dengan Kerajaan Persekutuan yang ditandatangani pada 12 Sept tahun lepas.

Mohd Azizuddin juga berkata, sejak menjadi Menteri Besar, Mohamed Azmin dilihat cuba membetulkan kononnya kesilapan pentadbiran Menteri Besar sebelumnya demi menjaga hati pemimpin Pakatan Rakyat yang lain.

"Menteri Besar sebelum ini (Abdul Khalid) cuba berbaik-baik dengan kerajaan persekutuan demi memastikan projek berkepentingan rakyat dapat dilaksanakan (di Selangor), tetapi Mohamed Azmin mengambil tindakan yang mungkin akan 'backfire' kepada Pakatan Rakyat," katanya.

Pendapat itu turut disokong penganalisis politik, Profesor Azizul Sani yang juga pensyarah dari UUM yang mengatakan tindakan Azmin itu seakan boleh dihidu kerana kem Pakatan Rakyat khasnya Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak bersetuju dalam beberapa perkara sewaktu Selangor di bawah pentadbiran Abdul Khalid.

"Sekarang boleh nampak yang Pakatan memang tidak bersetuju dengan Khalid dan waktu inilah peluang digunakan untuk ubah apa yang telah dilaksanakan terdahulu.

"Contohnya isu pegawai khas minta pampasan, pembatalan KIDEX dan kini isu air. Semua perkara ini seakan ditunggu-tunggu (untuk diubah) sewaktu Azmin mula memegang jawatan," katanya kepada Bernama.

Azizul berkata walaupun Pakatan Rakyat seolah-olah yakin apa yang dibuat ketika ini tidak memberi kesan di mata rakyat, namun sedikit sebanyak impak negatif akan terpancar apabila masalah timbul seperti krisis bekalan air.