MALAYSIA
Penstrukturan semula subsidi telur ayam berkuat kuasa esok

Keputusan itu juga dibuat setelah mengambil kira keyakinan terhadap keupayaan pihak industri dalam memastikan pengeluaran telur ayam yang stabil dan mencukupi. - Gambar hiasan
PUTRAJAYA: Kerajaan mengumumkan langkah penstrukturan semula subsidi telur ayam berkuat kuasa esok (1 Ogos) sebagai sebahagian daripada pendekatan penyasaran subsidi secara berfasa yang lebih lestari dan berimpak tinggi.
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam kenyataan memaklumkan pihak industri telah bersetuju untuk memperkenalkan Telur Gred Khas yang akan ditawarkan pada harga lebih berpatutan.
Ia sebagai inisiatif segera untuk memastikan keterjaminan bekalan dan kestabilan harga telur ayam.
"Rakyat juga boleh mendapatkan telur ayam dengan harga kompetitif melalui program Jualan Agro MADANI dan Jualan Rahmah yang dilaksanakan secara meluas di seluruh negara, termasuk di premis jualan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP)," menurut kenyataan itu di sini hari ini.KPKM memaklumkan keputusan itu juga dibuat setelah mengambil kira keyakinan terhadap keupayaan pihak industri dalam memastikan pengeluaran telur ayam yang stabil dan mencukupi.
"Untuk makluman, antara Februari 2022 hingga Disember 2024, kerajaan telah membelanjakan hampir RM2.5 bilion bagi menampung subsidi telur ayam.
"Ia satu jumlah yang besar dan bersifat sementara bagi membantu rakyat serta industri semasa krisis pandemik dan gangguan rantaian bekalan global," menurut kenyataan itu.
Menurut KPKM, kini dengan keadaan pasaran yang semakin stabil subsidi ini disusun semula agar lebih menyeluruh dan berfokus.
KPKM memaklumkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) juga akanterus memperkukuh penguatkuasaan melalui pemantauan rapi mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (AKHAP 2011) bagi membanteras sebarang bentuk pencatutan atau manipulasi harga oleh pihak tidak bertanggungjawab.
"Langkah ini penting bagi memastikan harga yang dikenakan kepada pengguna kekal berpatutan dan adil," menurut kenyataan itu.
Sebarang pertanyaan atau maklumat berkenaan isu bekalan atau harga telur ayam boleh disalurkan ke e-mel rasmi KPKM di [email protected] atau menerusi hotline KPKM di talian 03-8000 8000.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami