SHAH ALAM: Idea penubuhan Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) yang dibawa oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan cerita dongeng.

Perkara itu dijelaskan Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Muhammad Faisal Abdul Aziz menerusi kronologi yang dikongsi di Twitter.

Beliau berkata, idea penubuhan universiti Islam muncul dalam Kongres Universiti Islam anjuran Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) pada 3 hingga 7 Ogos 1971.

Menurutnya, susulan itu, Anwar yang ketika itu Presiden PKPIM (Yang Dipertua) telah menulis surat kepada Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussein untuk membawa idea penubuhan universiti Islam.

"Idea penubuhan universiti Islam ini turut melibatkan pandangan yang dicetuskan oleh Prof (Datuk) Ungku Omar (Ahmad) pada sekitar tahun yang sama.

"Idea ini dikukuhkan lagi apabila Anwar menerusi platform ABIM bergiat aktif bersama pemikir Islam Prof Ismail Faruqi dan Prof Syed Naquib Al-Attas yang membawa gagasan Islamisasi Ilmu.

"Mantan Rektor UIAM Prof Kamal Hassan menulisnya dalam makalah Centris UIAM dengan menegaskan idea Islamisasi Ilmu yang membawa kepada penubuhan UIAM telah diperjuangkan oleh ABIM khususnya ketika di bawah kepimpinan Anwar," katanya menerusi ciapan pada Sabtu.

Tambah beliau, pendakwah Nusantara, Ustaz Abdul Somad dalam satu ceramah juga pernah menegaskan perkara sama.

"Dalam Instagram dan Twitter, beliau berkongsi fakta sejarah ini di mana idea penubuhan UIAM berasal daripada Ismail Faruqi kemudian dibawa oleh Anwar dengan menubuhkan UIAM.

"Apabila Anwar memasuki UMNO/kerajaan, ia telah membuka jalan untuk beliau merealisasikan idea tersebut hingga tertubuh UIAM pada hari ini," katanya. -- Sinar Harian