PASIR PUTEH: Seorang lelaki maut apabila motosikal ditunggangnya hilang kawalan selepas melanggar pintu kereta sebelum tercampak dan dirempuh sebuah lagi kenderaan dalam kejadian di Jalan Pasir Puteh-Machang-Gerik berhampiran Kampung Felcra Teratak Batu di sini pada Jumaat.

Dalam kejadian jam 11.30 pagi itu mangsa yang berusia 37 tahun meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintenden Zaizul Rizal Zakaria berkata, siasatan awal mendapati, semasa kejadian seorang lelaki berusia 77 tahun telah memberhentikan kereta yang dipandunya di tepi jalan menghala ke arah Machang.

"Lelaki tersebut kemudian membuka pintu untuk keluar dari keretanya. Semasa berbuat demikian, tiba-tiba motosikal yang ditunggang oleh mangsa dari arah yang sama telah melanggar pintu kereta terbabit.

"Pelanggaran itu menyebabkan motosikal mangsa hilang kawalan. Mangsa kemudian telah tercampak ke laluan bertentangan," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Menurut beliau, sebuah kereta dari arah bertentangan dipercayai telah merempuh mangsa yang berada di laluannya.

Ujarnya, kedua-dua pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan.

Zaizul Rizal memberitahu, mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian diminta tampil ke balai polis berhampiran untuk membuat laporan atau menghubungi di talian 016-5072413. -Sinar Harian