KOTA BHARU: Sebanyak 82.3 peratus daripada 8,196 kes penyakit pekerjaan yang disahkan di negara ini pada 2024 melibatkan penyakit pendengaran, kata Timbalan Ketua Pengarah (Kesihatan Pekerjaan) Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (JKKP), Ahmad Jailani Mansor.
Beliau berkata, jumlah itu melibatkan 6,747 kes dengan pendedahan kepada bunyi bising di tempat kerja menjadikan penyakit berkenaan kategori penyakit pekerjaan paling dominan, khususnya dalam sektor perindustrian.
“Selain itu, turut direkodkan 820 kes penyakit muskuloskeletal pekerjaan, 299 kes penyakit akibat agen fizikal, 203 kes keracunan pekerjaan, 82 kes penyakit kulit, 24 kes penyakit agen biologi, 16 kes penyakit paru-paru, tiga kes kanser pekerjaan dan dua kes gangguan psikososial,” katanya ketika berucap pada Majlis Simposium Kesihatan Pekerjaan Zon Pantai Timur 2026, di sini, pada Selasa.
Ahmad Jailani berkata, secara keseluruhan sebanyak 11,465 kes penyakit pekerjaan dilaporkan di negara ini pada 2024, dengan 8,196 daripadanya disahkan sebagai penyakit pekerjaan.
Beliau berkata, statistik berkenaan menunjukkan pekerja masih terdedah kepada pelbagai faktor risiko pekerjaan yang berpotensi menjejaskan kesihatan mereka dalam tempoh jangka panjang.
“Langkah-langkah pencegahan, pengawalan dan pengurusan risiko kesihatan pekerjaan perlu terus diperkukuh bagi memastikan kesejahteraan pekerja sentiasa terpelihara meskipun cabaran berkaitan kesihatan pekerjaan turut menjadi semakin kompleks,” katanya.
-- BERNAMA