NATIONAL
Penyalahgunaan, penyeludupan dadah di Kelantan membimbangkan - Saifuddin

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution bercakap pada sidang media selepas lawatan kerjanya ke pos kawalan Pasukan Gerakan Am (PGA) Pos Ibrahim Pencen hari ini. - Foto BERNAMA
PASIR MAS: Situasi penyalahgunaan dan penyeludupan dadah di Kelantan sangat membimbangkan berdasarkan data tangkapan, reman dan sabitan yang menunjukkan trend peningkatan sejak 2022, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Ringkasan AI
- Penyalahgunaan dan penyeludupan dadah di Kelantan semakin membimbangkan, dengan peningkatan kes tangkapan dan sabitan sejak 2022.
- Penjara di Kelantan melebihi kapasiti, terutama disebabkan kesalahan berkaitan dadah yang merangkumi majoriti banduan.
- Polis dan AADK diarahkan pertingkat penguatkuasaan serta kerjasama, manakala masyarakat dan sekolah diminta bantu tingkatkan kesedaran.
"Trend penagihan, pengedaran dan penyeludupan dadah semakin meningkat dan hal ini dapat dilihat melalui jumlah tangkapan serta kes-kes yang berakhir dengan sabitan," katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan di Rantau Panjang di sini.
Beliau turut menzahirkan kebimbangan terhadap tahap kesesakan penjara di negeri ini yang dikaitkan dengan sabitan kes dadah.
"Penjara Machang kini menampung lebih 3,000 banduan sedangkan kapasitinya hanya 1,560, melebihi 104 peratus. Daripada jumlah itu, 80 peratus merupakan pesalah dadah.
"Penjara Pengkalan Chepa pula melebihi kapasiti dengan 2,977 banduan dan 65 peratus daripadanya berkaitan kes dadah," katanya.
Saifuddin Nasution berkata berdasarkan piawaian Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC), tahap penyalahgunaan dadah diukur melalui nisbah kes bagi setiap 100,000 penduduk.
"Kelantan dengan populasi 1.8 juta merekodkan kira-kira 23,000 kes penyalahgunaan dadah daripada empat sumber utama iaitu Kementerian Kesihatan, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan pusat pemulihan dadah. Ini menjadikan nisbah Kelantan melebihi 1,000 kes per 100,000 penduduk, jauh mengatasi purata nasional iaitu 566," katanya.
Beliau berkata lima daerah yang mencatatkan kes dadah tertinggi ialah Jeli, Kuala Krai, Bachok, Tanah Merah dan Pasir Puteh dengan Kelantan termasuk dalam empat negeri sempadan bersama Kedah, Perlis dan Terengganu yang mencatat kadar tertinggi kes berkenaan.
Saifuddin Nasution berkata sehubungan itu, polis Kelantan telah diarahkan untuk meningkatkan penguatkuasaan bagi mengawal bekalan dadah serta memperkukuh kerjasama dengan AADK bagi memperkemas strategi pencegahan.
"Saya juga menekankan pentingnya aspek kesedaran melibatkan masyarakat dan pihak sekolah dalam memerangi ancaman dadah ini," katanya.
Beliau berkata tahap keselamatan keseluruhan di negeri ini berada dalam keadaan baik hasil komitmen pasukan keselamatan yang berterusan.
Turut hadir Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami