Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan membenarkan solat fardu berjemaah di surau dan masjid di seluruh negeri itu, mulai Jumaat ini.

Dalam masa sama, bilangan jemaah untuk solat Jumaat juga ditambah daripada 12 kepada 40 orang, tidak termasuk pegawai masjid dan Ahli Jawatankuasa Kariah.

Ketua Pegawai Eksekutif, Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak (MAIPk), Shahrul Azam Saari berkata, perkenan itu dibuat setelah baginda menimbangkan nasihat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak dan merujuk garis panduan Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Ahli jemaah yang dibenarkan hadir untuk bersolat jemaah pada masa ini hanyalah dalam kalangan warganegara Malaysia.

“Identiti para jemaah yang datang untuk bersolat jemaah hendaklah disemak dan direkod sebelum dibenarkan masuk ke ruang solat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

BACA: Perak benarkan solat Jumaat, Aidilfitri bersyarat

Menurutnya, seperti solat Jumaat, bilangan jemaah untuk solat fardu juga hendaklah tidak melebihi 40 orang, tidak termasuk pegawai masjid dan ahli Jawatankuasa Kariah.

Katanya, identiti jemaah yang datang untuk bersolat juga hendaklah disemak dan direkod sebelum dibenarkan masuk ke ruang solat.

Shahrul Azam berkata, penggunaan masjid dan surau untuk pelaksanaan solat Jumaat dan solat fardu berjemaah hendaklah mematuhi sepenuhnya garis panduan dan prosedur yang telah ditetapkan oleh MKN dan KKM.

Menurutnya, Jabatan Agama Islam Perak akan mengeluarkan satu garis panduan dan kaedah terkini kepada semua Pengerusi Jawatankuasa Kariah masjid dan surau di negeri Perak dan selanjutnya menyelia dan memastikan garis panduan tersebut dipatuhi.

“Arahan dan ketetapan ini hendaklah terpakai dan berkuat kuasa serta-merta sehingga dikeluarkan apa-apa arahan baharu daripada Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak,” ujarnya.