Peralihan operasi MASwings kepada AirBorneo berkuat kuasa pada 1 Januari 2026 - MAG

MASwings telah mengendalikan lebih 430,000 penerbangan dan membawa lebih 19 juta penumpang di seluruh rangkaiannya sepanjang tempoh sejarah operasinya. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Usaha peralihan operasi MASwings kepada AirBorneo akan berkuat kuasa pada 1 Jan, 2026, selepas selesainya proses pemindahan pemilikan di bawah perjanjian jual beli (SPA) dimeterai Malaysia Aviation Group (MAG) dan kerajaan Sarawak pada 12 Feb, 2025.
Ringkasan AI
- Peralihan operasi MASwings kepada AirBorneo akan berkuat kuasa pada 1 Januari 2026 selepas proses pemindahan pemilikan dimeterai dalam perjanjian jual beli antara Malaysia Aviation Group (MAG) dan kerajaan Sarawak pada 12 Februari 2025.
- MAG menyatakan bahawa AirBorneo akan mengambil alih tanggungjawab undang-undang dan operasi sepenuhnya bagi semua perkhidmatan yang sebelum ini dikendalikan oleh MASwings, termasuk operasi penerbangan, perkhidmatan pelanggan serta pengurusan yang berkaitan penumpang.
- Penumpang dan pihak berkepentingan dipelawa untuk hubungi pusat panggilan AirBorneo bagi sebarang pertanyaan berkaitan tempahan, penerbangan atau perkhidmatan pelanggan mulai 1 Januari 2026.
MAG merakamkan penghargaan atas kerjasama dan kesabaran penumpang, rakan kerjasama serta pihak berkepentingan sepanjang tempoh peralihan itu.
Susulan itu, pelanggan yang mempunyai sebarang pertanyaan berkaitan tempahan, penerbangan atau perkhidmatan pelanggan mulai 1 Jan, 2026 boleh menghubungi pusat panggilan AirBorneo di 1-300-22-1388 (percuma bagi pemanggil tempatan) atau +60 82-537 555 (pemanggil antarabangsa).
MASwings yang ditubuhkan pada 1 Okt, 2007, adalah syarikat penerbangan komuter pertama Malaysia Timur bagi memenuhi keperluan perjalanan udara di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Syarikat itu memulakan operasi dengan empat pesawat jenis Fokker 50 berkapasiti 50 tempat duduk dan empat pesawat Twin Otter berkapasiti 19 tempat duduk bagi perkhidmatan rangkaian 22 destinasi di seluruh rantau berkenaan.
Pada 2009, kumpulan pesawat Fokker 50 ditamatkan secara berperingkat dan digantikan dengan pesawat ATR 72-500 bagi meningkatkan kecekapan operasi, kebolehpercayaan rangkaian serta pengalaman penumpang secara menyeluruh.
"MAG kekal komited memastikan kelancaran peralihan serta menyokong pengukuhan berterusan kesalinghubungan udara serantau bagi Sarawak dan komuniti yang lebih meluas," kata kumpulan itu.
MASwings telah mengendalikan lebih 430,000 penerbangan dan membawa lebih 19 juta penumpang di seluruh rangkaiannya sepanjang tempoh sejarah operasinya.
"Syarikat ini juga telah menyumbang secara bermakna kepada penciptaan peluang pekerjaan yang merentasi rantaian nilai penerbangan.
"Usaha ini dengan mewujudkan lebih 300 pekerjaan langsung dan tidak langsung merangkumi operasi penerbangan, kejuruteraan, kru atau anak kapal kabin, pengendalian darat serta perkhidmatan sokongan penting," katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


