Peranan Malaysia dalam BRICS perkukuh platform kerjasama multilateral lebih luas - Duta Rusia

Latypov berkata, Rusia melihat nilai dalam mengukuhkan rangkaian kerjasama multilateral antara ASEAN, BRICS, Pertubuhan Kerjasama Shanghai dan Kesatuan Ekonomi Eurasia. - Gambar fail/Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Penglibatan Malaysia dengan BRICS sebagai negara rakan dijangka membuka peluang baharu untuk kerjasama multilateral yang melibatkan ASEAN dan kelompok serantau lain.
Ringkasan AI
- Malaysia terlibat dengan BRICS membuka peluang kerjasama multilateral yang melibatkan ASEAN dan kelompok serantau lain, kata Duta Rusia ke Malaysia, Naiyl Latypov.
- Malaysia menjemput Brazil, pengerusi BRICS, ke Sidang Kemuncak ASEAN untuk pertama kali, menunjukkan isyarat positif dalam mengukuhkan kerjasama antara ASEAN dan BRICS.
- BRICS bukan organisasi anti-Barat tetapi platform untuk negara yang mencari alternatif dalam ekonomi global yang berubah, dengan tumpuan pada kerjasama stabil dan saling menguntungkan, kata Latypov.
Beliau berkata semasa Malaysia mempengerusikan ASEAN tahun ini, keputusan untuk menjemput Brazil, selaku Pengerusi BRICS, ke Sidang Kemuncak ASEAN membolehkan semua anggota BRICS duduk semeja pada Sidang Kemuncak Asia Timur buat kali pertama.
"Saya fikir ia satu isyarat yang sangat baik," katanya sambil menambah bahawa Rusia melihat nilai dalam mengukuhkan rangkaian kerjasama multilateral antara ASEAN, BRICS, Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) dan Kesatuan Ekonomi Eurasia (EAEU).
Latypov berkata usaha kerjasama pelbagai hala itu akan menyumbang kepada peraturan tingkah laku antarabangsa yang stabil dan saling menguntungkan, terutama ketika negara-negara Selatan Global berusaha mendapatkan representatif yang lebih kukuh.
Mengulas mengenai kerjasama Malaysia dengan Amerika Syarikat di bawah perjanjian perdagangan timbal balas yang ditandatangani semasa mesyuarat berkaitan ASEAN baru-baru ini, duta itu berkata Rusia tidak mengambil sebarang pendirian terhadap pilihan perdagangan dua hala Malaysia.
"Saya tidak berada dalam kedudukan untuk mengulas atau memberi nasihat kepada Malaysia mengenai apa yang harus dilakukan," katanya.
Latypov turut menegaskan bahawa BRICS bukan sebuah organisasi anti-Barat, sebaliknya platform untuk negara-negara yang mengamalkan dasar luar bebas dan mencari alternatif dalam landskap ekonomi global yang sedang berubah.
Beliau berkata bahawa perbincangan mengenai pengurangan penggunaan dolar Amerika dalam rangka kerja BRICS tidak mencerminkan permusuhan terhadap mata wang Amerika Syarikat, tetapi timbul daripada kebimbangan terhadap penggunaannya "sebagai alat atau senjata" dalam pertikaian geopolitik.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


