Walaupun Malaysia sedang menikmati manfaat akibat perang perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China, namun impak itu bersifat sementara kerana pertikaian sedemikian tidak menguntungkan mana-mana pihak dalam jangka panjang.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata pertikaian antara dua kuasa besar ekonomi itu memberi manfaat kepada Malaysia dari segi penempatan semula perniagaan serta lencongan dagangan dan pelaburan tetapi negara ini akan turut merasai tempias kelembapan ekonomi jika pertikaian itu terus berlanjutan.

"Biar pun Malaysia antara negara yang mendapat manfaat, namun perang perdagangan tersebut tidak menguntungkan sesiapa. Tiada (pihak) yang menang, sebaliknya hanya rugi.

"Oleh itu, kita berharap China dan AS dapat mencapai penyelesaian. Kita juga berharap Presiden Donald Trump yang akan ke Jepun bagi menghadiri Sidang Kemuncak Kumpulan 20 Negara atau G20, dapat melihat kepentingan global yang lebih luas," katanya merujuk persidangan yang akan diadakan di Osaka pada 28-29 Jun ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan kilang Hotayi Electronic (M) Sdn Bhd, di sini, pada Sabtu.

Mengulas selanjutnya, Lim berkata AS menyumbang 20 peratus kepada ekonomi global manakala China sebanyak 16 peratus dan sebarang pertikaian berpanjangan akan menjejaskan perdagangan global.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau memuji langkah Hotayi Electronic untuk membuat pelaburan RM1 bilion di Pulau Pinang dalam usaha mengembangkan kapasiti pengeluaran serta menjadi rakan strategik bagi pembuatan pintar di ASEAN.

Menurutnya, syarikat itu kini mempunyai seramai 850 pekerja di negeri dan pelaburan tersebut akan meningkatkan jumlah pekerja kepada lebih 1,000 orang.

Malah, keperluan pekerja mahir itu adalah seiring dengan aspirasi kerajaan bagi membolehkan sektor swasta mewujudkan lebih banyak pekerjaan berkualiti dengan gaji menarik untuk rakyat negara ini, katanya.

"Pihak pengurusan Hotayi Electronic telah memaklumkan saya bahawa mereka juga aktif melahirkan tenaga kerja kejuruteraan baharu dan pekerja mahir sejajar dengan dasar kebangsaan 'Industry4WRD'. Malah, kilang baharu Hotayi melaksanakan konsep (Revolusi Perindustrian) Industri 4.0 dan menggabungkan ciri-ciri pemuliharaan tenaga bagi mengurangkan jejak karbon," katanya.

-- BERNAMA