Sambutan pelbagai perayaan masyarakat majmuk dapat mengukuhkan lagi perpaduan penduduk yang mengadaptasikan konsep 1Malaysia, kata Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mary Yap Kain Ching.

Beliau berkata melalui sambutan itu masyarakat boleh mengenali dan memahami budaya kaum lain secara langsung.

"Sokongan tanpa mengira kaum hadir memeriahkan program sambutan perayaan yang dianjurkan seperti Tahun Baharu Cina dapat mengukuhkan ikatan silaturrahim secara semulajadi antara warga Sabah yang berbeza latar belakang agama dan budaya," katanya yang juga Anggota Parlimen Tawau ketika merasmikan Karnival Sempena Tahun Baru di sini malam tadi.

Yap berkata perpaduan sebenar akan wujud apabila tidak ada lagi perkara yang boleh menimbulkan rasa sangsi, gelisah dan kurang percaya atau terlalu sensitif apabila terdapat perkara atau isu tidak seharusnya dibangkitkan.

"Perpaduan itu penting dan menjadi tanggungjawab semua rakyat negara ini berusaha mengekalkannya, dan kita berada di landasan betul dalam kita menuju negara maju," katanya.

Kira-kira 3,000 warga Tawau hadir pada majlis sambutan itu di Padang Perbandaran yang akan berlangsung selama seminggu sehingga 22 Jan ini.

-- BERNAMA