MALAYSIA
Perbelanjaan pelawat domestik cecah RM106 bilion pada 2024 - DOSM

Peningkatan dalam aktiviti perjalanan domestik ini disokong oleh faktor bermusim pada suku pertama, termasuk sambutan Tahun Baharu Cina, bulan Ramadan dan persiapan Aidilfitri serta cuti sekolah. - Gambar hiasan
PUTRAJAYA: Sektor pelancongan domestik Malaysia merekodkan pertumbuhan yang ketara pada 2024, dengan jumlah perbelanjaan pelawat domestik mencecah RM106.7 bilion, meningkat 25.6 peratus berbanding RM84.9 bilion pada 2023, menurut Survei Pelancongan Domestik Malaysia yang diterbitkan Jabatan Perangkaan (DOSM) hari ini.
Ketua Perangkawan Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata pertumbuhan itu disokong oleh peningkatan perbelanjaan daripada pelancong dan pelawat harian, masing-masing mencatatkan kadar pertumbuhan 20.6 peratus dan 33.8 peratus.
"Bilangan pelawat domestik telah meningkat 21.7 peratus untuk mencatatkan 260.1 juta pelawat pada 2024 berbanding 213.7 juta pada tahun sebelumnya.
"Peningkatan dalam aktiviti perjalanan domestik ini disokong oleh faktor bermusim pada suku pertama, termasuk sambutan Tahun Baharu Cina, bulan Ramadan dan persiapan Aidilfitri serta cuti sekolah yang menyumbang kepada peningkatan pergerakan dan perbelanjaan berkaitan pelancongan," katanya.Beliau berkata bagi mod pengangkutan, 97.6 peratus pelawat domestik menggunakan pengangkutan darat, manakala perjalanan udara hanya menyumbang 2.1 peratus.
Menurut Mohd Uzir, dari segi pemilihan penginapan, 60.4 peratus pelancong menginap bersama saudara-mara dan rakan.
Kadar pelancong yang memilih penginapan berbayar meningkat dengan penginapan di hotel mewakili 21.7 peratus daripada penginapan bermalam, dan penggunaan homestay meningkat daripada 6.7 peratus pada 2023 kepada 8.6 peratus pada 2024, katanya.
"Melawat saudara-mara dan rakan kekal sebagai tujuan utama perjalanan domestik, menyumbang 34.6 peratus daripada bilangan perjalanan pada 2024. Sebaliknya, perjalanan bertujuan untuk membeli-belah merosot kepada 27.6 peratus pada 2024 daripada 32.6 peratus pada tahun sebelumnya.
"Walau bagaimanapun, membeli-belah kekal menjadi kategori perbelanjaan yang terbesar, mencatatkan 37.4 peratus daripada jumlah perbelanjaan pelancongan domestik, diikuti oleh makanan dan minuman dengan 16.2 peratus dan pembelian bahan api kenderaan dengan 12.7 peratus," katanya.
Mohd Uzir berkata Selangor merupakan negeri paling kerap dikunjungi dengan menarik 34.5 juta pelawat domestik, diikuti Kuala Lumpur (27 juta) dan Perak (21.8 juta).
"Secara keseluruhannya, sektor pelancongan domestik Malaysia pada 2024 menunjukkan pertumbuhan yang kukuh dan pesat, didorong oleh peningkatan bilangan pelawat, perbelanjaan yang lebih tinggi dan perubahan dalam corak perjalanan.
"Walaupun tujuan perjalanan melawat saudara mara kekal dominan, minat yang semakin meningkat terhadap pelancongan yang berasaskan rekreasi, program dan pengalaman mencerminkan pasaran yang semakin dinamik dan pelbagai," katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami