Perbezaan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dengan beberapa pelan kerajaan sebelum ini antara yang bakal diperjelaskan sekali gus menjadi tumpuan persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Dalam aturan mesyuarat dikeluarkan laman web Parlimen, ia dibangkitkan pada soalan pertama semasa sesi Waktu-Waktu Pertanyaan Menteri oleh Vivian Wong Shir Yee (PH-Sandakan) yang meminta penjelasan daripada Kementerian Hal Ehwal Ekonomi berhubung perkara berkenaan.

BACA: WKB 2030 tidak pinggir Bumiputera - Dr Mahathir

BACA: Kerajaan PH dicabar lebih berani bantu Bumiputera

Selain itu, turut bakal menjadi tumpuan adalalah rasionalisasi kerajaan untuk tidak memberikan subsidi petrol bersasar kepada golongan B40 di Sabah, Sarawak dan Labuan bermula 1 Jan 2020 yang dibangkitkan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PH-Beluran) kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Bagi sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan pula, tumpuan dijangka terarah kepada soalan kedua daripada Datuk Seri Ahmad Hamzah (BN-Jasin) yang meminta Kementerian Hal Ehwal Ekonomi menyatakan prestasi kewangan terkini Khazanah Nasional.

Soalan keempat daripada Datuk Alexander Nanta Linggi (GPS-Kapit) tidak kurang menariknya apabila meminta Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan status rundingan terkini berhubung Jawatankuasa Perundingan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Usai sesi tersebut, persidangan terarah pula kepada sesi bacaan kali kedua bagi perbahasan tiga rang undang-undang melibatkan Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional 2019 oleh Dr Mahathir, serta Mata Wang 2019 dan Bank Negara Malaysia (Pindaan) 2019, kedua-duanya oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Sesi persidangan Dewan Rakyat kali ini dijadual berlangsung sehingga 5 Dis.

-- BERNAMA