Perbicaraan kes Albert Tei di Sabah bermula April depan

Pada 30 Jun lepas, Tei dan dua bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan rasuah berkaitan lesen perlombongan mineral di Sabah pada 2023. - Gambar fail/Astro AWANI/Shahir Omar
KOTA KINABALU: Perbicaraan kes ahli perniagaan Albert Tei berkaitan permohonan lesen penerokaan mineral di Sabah akan bermula pada 20 hingga 24 April depan.
Ringkasan AI
- Perbicaraan kes ahli perniagaan Albert Tei berkaitan permohonan lesen penerokaan mineral di Sabah akan berlangsung dari 20 hingga 24 April depan dengan 15 saksi dijangka dipanggil.
- Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Dzulkarnain Rousan Hasbi menyerahkan dokumen dan cakera padat berkaitan kes itu kepada pihak pembelaan hari ini.
- Tei dan dua bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah mengaku tidak bersalah atas pertuduhan rasuah berkaitan lesen perlombongan mineral di Sabah pada 2023, dengan bekas ADUN Sindumin dan Tanjung Batu turut didakwa menerima suapan.
Pihak pembelaan terdiri daripada peguam Edward Paul, Batholomew Jingulam dan Jul Hamri Jumhani.
Pada 30 Jun lepas, Tei dan dua bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan rasuah berkaitan lesen perlombongan mineral di Sabah pada 2023.
Bekas ADUN Sindumin Datuk Dr Yusof @ Josree Yacob, bekas ADUN Tanjung Batu Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy dan Tei membuat pengakuan itu selepas pertuduhan berasingan berkaitan kes rasuah itu dibacakan kepada mereka di hadapan Hakim Jason Juga.
Yusof, 69, yang juga Pengerusi Qhazanah Sabah Berhad didakwa atas satu pertuduhan menerima wang suapan RM200,000 daripada Tei sebagai dorongan membantu menguruskan permohonan prospecting licence untuk cari gali mineral di Sabah, di sebuah hotel, di sini pada 2 petang, 6 Mac 2023.
Andi Muhammad Suryady, 44, yang juga Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah serta Ahli Parlimen Kalabakan didakwa menerima wang suapan RM150,000 daripada Tei, 37, sebagai dorongan membantu menguruskan permohonan prospecting licence untuk cari gali mineral di Sabah, di kediaman ADUN itu di sini pada 11 malam, 12 Mei 2023.
Tei didakwa atas dua pertuduhan memberikan wang rasuah masing-masing kepada Yusof dan Andi di lokasi, masa dan tarikh yang sama.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


